Tiga peneroka Felda Bukit Kuantan rayu menunjukkan kesan gajah liar memusnahkan pokok kelapa sawit

KUANTAN – Peneroka Felda Bukit Kuantan merayu pihak berwajib menangani isu serangan sekumpulan gajah liar di kebun kelapa sawit mereka yang berlanjutan sejak tiga tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Bukit Kuantan, Bakaruddin Daud, 65, berkata, kejadian serangan gajah liar yang memusnahkan tanaman mereka didapati semakin kerap berlaku sejak awal tahun ini.

“Makin acap, tak macam dulu. Kalau dulu setahun sekali atau dua kali. Sekarang ni semenjak tebang untuk tanam semula, (gajah liar) selalu masuk.

“Maknanya kita mintak pihak kerajaan bantulah nak menyelesaikan masalah gajah ni,” katanya ketika ditemui pemberita di ladang kelapa sawit di Bukit Kuantan di sini.

Bakaruddin Daud

Seorang peneroka, Derahman Mamat, 75, berkata, dia pernah berjaga di kebun kelapa sawitnya setiap malam ketika mengetahui kawasan itu diceroboh haiwan liar terbabit.

Sehingga kini, katanya lebih 10 kali kebunnya diceroboh kira-kira 40 ekor gajah liar itu sejak tiga tahun lalu.

Derahman Mamat

“Saya tanam 600 pokok, tetapi selepas gajah datang berulang kali, hanya tinggal 100 pokok sahaja. Dia makan dan musnahkan pokok selain makan umbutnya juga,” luah Derahman lagi.

Seorang lagi peneroka, Mohd Tahar, 80, memberitahu, dia kecewa kerana menanggung kerugian akibat serangan haiwan itu di kebun kelapa sawitnya.

Katanya, dia perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk menggantikan setiap pokok yang dimusnahkan gajah liar itu agar dapat memperoleh pendapatan daripada hasil tanaman terbabit.

“Kos setiap pokok termasuk harga anak pokok RM23, upah menanam RM7 dan baja pula RM40.

“Sebab tu, kami benar-benar merayu agar pihak berkenaan mengambil langkah untuk menghentikan serangan gajah ini,” luahnya.

Mohd Tahar menunjukkan pokok kelapa sawitnya yang dimusnahkan gajah liar

Difahamkan, sejak kejadian serangan kumpulan gajah liar itu, kira-kira 40 orang peneroka mengalami kerugian lebih RM800,000.

Bukan sahaja kerugian, mereka malah bimbang serangan haiwan liar itu memasuki kawasan kampung kerana jarak yang begitu hampir iaitu kira-kira 15 meter daripada kawasan terlibat.

Sementara itu, Pengurus Felda Bukit Kuantan, Saiful Bahrom berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi menangani isu terbabit.

Pengurus Felda Bukit Kuantan, Saiful Bahrom

“Langkah penyelesaian turut meliputi pembinaan pagar, kawalan malam dan menegnalpasti kawasan sesuai untuk menyediakan makanan bagi kumpulan mamalia liar itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here