KUALA LUMPUR -“Ke mana saya pergi, siapa yang saya temui dan apa yang saya perbualkan – semuanya menjadi perhatian pihak tertentu dan perlu dilaporkan oleh satu cawangan khusus kepada pihak political master atau operator utamanya”.
“Itu realiti harian yang saya hadapi. Dengan perkembangan teknologi canggih hari ini, mereka mungkin juga cuba mengetahui isi perbualan saya dengan individu tertentu terutama pimpinan politik, kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri bin Mokhtar.
Dalam satu kenyataan hari ini, pemimpin Pas itu mendakwa dirinya telah dilabel dan ditandai sebagai Travel Control Office/ Order (TCO) dalam sistem kawalan sempadan oleh satu pihak cawangan khusus di negara ini.
“Seolah-olah saya ini adalah seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan satu sindiket dan gengster atau persona non grata – di tanah air saya sendiri.
“Sudah tentu saya sangat kecewa dengan keadaan ini. Ia bukan sekadar label tetapi saya di “tahan” dan dibawa ke tepi, satu panggilan akan dibuat dan perlu mendapat persetujuan satu cawangan khusus sebelum dibenarkan keluar dari kawalan sempadan, untuk setiap kali keluar-masuk sempadan, walaupun sekadar ke Sabah dan Sarawak sejak suku ketiga tahun 2024,” katanya lagi.
Dalam sistem keselamatan, TCO adalah satu bentuk penandaan terhadap individu yang dianggap berisiko oleh pihak tertentu, walaupun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah.
Status itu membolehkan segala pergerakan, komunikasi dan interaksi seseorang dipantau secara menyeluruh, senyap, dan berterusan.
Ia dilaksanakan atas nama “untuk keselamatan negara” atau “untuk kestabilan politik” tetapi realitinya sering digunakan sebagai alat politik dan cara mudah untuk untuk mengumpul maklumat politik pihak lawan sebagai usaha untuk mengawal dan menekan suara tertentu, kata Ahmad Samsuri.
“Adakah telefon saya dipintas? Sudah tentu. 100%.
Adakah saya diikuti ke mana-mana saya pergi, walaupun atas urusan peribadi ? Sudah tentu. Tanpa ada keraguan.
“Bagaimana saya tahu semua ini ? Sebenarnya, kita tidak perlu pun menjadi pintar untuk mengenal pastinya, dengan beberapa ujian dan umpanan mudah, perkara akan jelas seperti siang yang terang benderang. Kita tidak perlu mempunyai ilmu counter-surveillance untuk mengenal pasti anasir yang memantau kita – kerana kehadiran operatif dan elemen mereka adalah sangat ketara dan mudah dikenal pasti menerusi pemilihan kenderaan yang mereka gunakan, kereta yang statik, cara mereka berkomunikasi, pejalan kaki (spotter), dan sebagainya.
“Kenapa sampai ke tahap ini? Ini berlaku adalah hanya untuk meredakan paranoia segelintir pihak yang tanpa ada keperluan untuk merasakan tidak stabil dan terancam,” dakwanya.
Selain dirinya, Ahmad Samsuri dimaklumkan ada seorang lagi tokoh utama pembangkang yang juga berdepan dengan label tier TCO.
“Sudah tentu saya dan rakan berkenaan tidak akan berdiam diri. Penyalahgunaan sumber kerajaan sebagai senjata politik seperti ini – satu trend yang merosakkan kebebasan peribadi dan merubah struktur negara yang sepatutnya bersifat adil.
“Jika ini dibenarkan berleluasa, saya tidak hairan jika instrumen yang sama juga sedang digunakan terhadap orang awam, NGO, badan bebas, dan sesiapa sahaja yang mempunyai pandangan yang tidak sehaluan dengan parti pemerintah. Mungkin sedang digunakan pada masa ini.
“Dan seperti biasa, alasan yang diberi adalah “demi keselamatan negara” dan ia adalah untuk kepentingan awam – walaupun hakikatnya ia hanyalah demi kelangsungan politik semata-mata,” ujarnya.