Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jefri Embok Taha bercakap pada media berkenaan tangkapan seramai 288 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari pelbagai negara ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APMM) di sekitar Hentian Kajang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 11 APRIL 2025.

KAJANG – Seramai 288 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APMM) di sekitar Hentian Kajang, di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jefri Embok Taha berkata, tangkapan itu hasil pemeriksaan pihaknya terhadap 1,035 warga asing di kawasan perniagaan itu hampir empat jam.

“Antara PATI yang ditahan termasuk warganegara Bangladesh (93), Indonesia (49), Myanmar (59), Pakistan (6), Nepal (46), India (22), Sri Lanka (11) dan Sudan (2).

“Kesemua 288 PATI yang ditahan itu dikesan melakukan pelbagai kesalahan dan pelanggaran undang-undang Imigresen,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Seramai 288 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari pelbagai negara ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APMM) di sekitar Hentian Kajang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 11 APRIL 2025.

Terdahulu, beliau mengetuai operasi itu yang bermula kira-kira jam 7.30 malam, melibatkan seramai 185 pegawai dari Ibu Pejabat JIM, Putrajaya serta JPN dan APMM.

Menurut Jefri, tangkapan itu dibuat selepas pihaknya memeriksa enam blok bangunan perniagaan melibatkan 540 premis termasuk rumah kedai dan penempatan.

“Kesemua yang ditahan berumur di antara 18 hingga 60 tahun, terdiri daripada 242 lelaki dan 456 perempuan,” katanya.

“Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan susulan,” katanya.

Jefri memberitahu, ketika operasi dijalankan, terdapat cubaan PATI untuk melarikan diri dengan bersembunyi di sekitar premis.

“Anggota operasi terpaksa membuat pemeriksaan menyeluruh premis di dalam kawasan petempatan tersebut.

“Ada antara warganegara asing yang bersembunyi di dalam bilik, tandas, bilik stor dan lain-lain,” katanya.

Menurutnya, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa, pemegang kad tidak diiktiraf dan lain-lain kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Operasi penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan untuk meningkatkan pemantauan, pemeriksaan serta pelaporan bagi memastikan pematuhan undang-undang oleh majikan dan pekerja asing ke arah memperkukuhkan sistem penguatkuasaan Imigresen negara.

“Warganegara Malaysia terutama majikan diingatkan untuk tidak menggaji atau melindungi mana-mana PATI.

“Tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here