KENYATAAN media Wanita MCA berhubung isu jenayah seksual di Kelantan.

KUALA LUMPUR – Wanita MCA mencadangkan pendidikan seksual berasaskan nilai yang bersesuaian dengan umur dilaksanakan di sekolah sebagai salah satu cara mengatasi isu jenayah seksual yang dilaporkan semakin serius di Kelantan.

Ketuanya, Datuk Wong You Fong berkata, program pendidikan itu harus merangkumi topik seperti kecerdasan emosi, sempadan peribadi, sentuhan yang selamat dan tidak selamat, risiko aktiviti seksual awal, dan kepentingan menjaga maruah diri serta hubungan yang sihat.

Jelas beliau, semua elemen itu berada dalam konteks pendidikan seksual yang sesuai dari segi budaya dan agama dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Selain itu, beliau menggesa ibu bapa atau penjaga memainkan peranan penting dengan sentiasa memantau pergerakan dan aktiviti anak-anak mereka.

“Sekiranya berlaku kejadian sumbang mahram dalam kalangan keluarga, sila buat laporan polis dengan segera.

“Jangan menyembunyikan perkara ini kerana bimbang akan menjadi barah di dalam sesebuah keluarga,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kelmarin, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, jumlah kes rogol dan sumbang mahram di negeri itu menunjukkan trend peningkatan ketara setiap tahun, dengan kebanyakan kes melibatkan hubungan suka sama suka.

Mohd Yusoff berkata, sebanyak 252 kes direkodkan pada tahun lalu berbanding 206 kes pada 2023, iaitu peningkatan sebanyak 22.3 peratus, dan apa yang membimbangkan ada dalam kalangan pelaku terlibat terdiri daripada remaja berumur seawal 10 tahun.

Sementara itu, You Fong turut menggesa pihak berwajib meningkatkan penglibatan golongan bawah umur dalam aktiviti bersukan, beriadah, kelab dan program yang diadakan di sekolah mahupun persatuan luar.

Ujarnya, pendekatan itu boleh mengalihkan perhatian golongan tersebut ke arah perkara yang lebih bermanfaat, sekali gus mampu memupuk peribadi kanak-kanak berkenaan selain pendedahan terhadap kerja berpasukan.

Dalam masa sama, katanya, masyarakat sekeliling juga perlu memainkan peranan termasuk tidak sesekali menjatuhkan hukuman kepada mereka yang sudah terjebak dalam jenayah seksual.

“Jangan mudah menghakimi orang lain, mereka ini perlu diyakinkan bahawa terdapat tempat perlindungan yang selamat atau masih ada masyarakat yang boleh dipercayai untuk membantu,” katanya.

Selain itu, You Fong menambah, ibu bapa perlu kerap memantau kandungan onlline yang dilayari anak-anak mereka, dengan pihak sekolah juga boleh melaksanakan kempen celik digital untuk memberi pendedahan kepada para pelajar.

“Dalam mengatasi jenayah seksual ini, semua pihak berkepentingan termasuk ibu bapa, para pendidik, pemimpin, pertubuhan bukan kerajaan dan penguatkuasa undang-undang perlu bekerjasama.

“Perlindungan dan perkembangan anak-anak kita bukanlah tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya ia adalah tugas bersama,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here