MELAKA – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan dan merosakkan kereta milik bekas kekasihnya, bulan lalu.
Tertuduh, K. Mageshwaran, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat mendatangkan ketakutan kepada seorang wanita berusia 24 tahun, dengan kata-kata ugutan ‘akan menghancurkan hidup dengan cara menyebarkan gambar-gambar di dalam media sosial’.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor, Jalan Merbok 1/8, Taman Merbok dalam daerah Melaka Tengah pada kira-kira jam 2.30 pagi 31 Mac 2025.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau keduanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK).
Tertuduh turut berdepan pertuduhan melakukan khianat yang menyebabkan kerosakan bonet hadapan sebuah kereta milik wanita berkenaan pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau keduanya sekali mengikut Seksyen 426 KK.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Abdullah Mohd. Rodzlad memohon dikenakan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
Peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya bekerja sendiri dengan pendapatan RM1,600 sebulan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan tarikh 22 Mei untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette