KUALA LUMPUR – Polis menahan lapan individu termasuk empat bergelar Datuk membabitkan pelaburan tipu dikenali sebagai Pelaburan MBI.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan dilakukan pada 20 Mac lalu melalui operasi Op Northern Star yang merupakan tindakan rentas negara dan dilaksanakan hasil maklumat red notice daripada Interpol.
Jelas beliau, tangkapan melibatkan tujuh lelaki dan seorang perempuan berumur antara 44 hingga 62 tahun yang turut membabitkan dua usahawan dan dua peguam bergelar Datuk.
“Melalui operasi ini, PDRM berjaya membekukan pelbagai aset dan hasil perolehan haram yang dipercayai berkait rapat dengan skim pelaburan tipu jenis “ponzi scheme” dikenali sebagai pelaburan mbi, yang berpusat di sebuah negara jiran,” jelas beliay.
Kesemua suspek telah direman antara satu hingga tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4(1) AMLA 2001 (Akta 613).
Katanya, dalam beberapa siri serbuan pasukan AML telah berjaya melaksanakan pembekuan dan penyitaan aset seperti di bawah
Seksyen 44(1) AMLA (Akta 613) dan Seksyen 45(2) AMLA 2001 (akta 613).
Aset yang dirampas dan dibekukan termasuk 638 akaun bank dan akaun saham berjumlah RM1.1 bilion, 35 unit hartanah dianggarkan bernilai RM2 bilion, 10 kenderaan mewah, 12 utas jam tangan mewah.
Turut dirampas wang tunai dalam pelbagai mata wang asing dan ringgit Malaysia, dua unit barang kemas, enam telefon bimbit, dua unit komputer riba; empat buah beg tangan mewah dan pelbagai dokumen penting.
Katanya, semua harta dan barang yang disita dipercayai merupakan hasil perolehan haram berkaitan aktiviti penipuan pelaburan terbabit.
“PDRM akan meneruskan siasatan terhadap mana-mana individu atau entiti yang disyaki terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memperoleh, menerima, memiliki, menyembunyikan, memindahkan, mengubah, menukar, membawa masuk/keluar, menggunakan, atau melupuskan hasil perolehan haram daripada aktiviti penipuan pelaburan ini,” tegasnya.
PDRM menasihatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada serta menjauhi sebarang aktiviti mencurigakan, dan pada masa sama tampil bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah. – MalaysiaGazette