MELAKA – Seorang wanita menjadi mangsa cabul lelaki gila seks ketika sedang berjoging di Taman Bandaraya Bukit Serindit, sini malam tadi.
Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam.
“Saya ada dimaklumkan ada berlaku kes cabul (mangsa) tengah joging, dipeluk dari belakang, ditekup mulut dan cuba ditarik ke semak.
“Nasib ada orang lalu tolong,” katanya melalui status yang dimuat naik di Facebook (FB) rasminya hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong itu berkata, beliau telah menghubungi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman untuk ambil tindakan terhadap perkara ini.
“MBMB akan tingkatkan rondaan anggota penguatkuasa di kawasan ini.
“Para ‘joggers’ juga diminta lebih berhati-hati dan para pencabul, biasa eh. Jangan dapat jer,” katanya memberi amaran keras kepada pelaku jenayah itu.
Terdahulu, tular di media sosial kejadian berkenan yang mengingatkan golongan wanita supaya berhati-hati agar tidak menjadi mangsa kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit memaklumkan kenyataan kes akan dikeluarkan Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar hari ini. – MalaysiaGazette