KUALA LUMPUR – Anugerah Reka Bentuk Pin Emas iaitu salah satu pertandingan reka bentuk paling berpengaruh di Asia bakal kembali lagi apabila diadakan bermula 28 April ini selama dua hari di dua lokasi berbeza di sini.
Dianjurkan Institut Penyelidikan Reka Bentuk Taiwan, acara tahun ini akan mendapat kerjasama Tsubaki Studio iaitu studio reka bentuk tempatan terkemuka dalam usaha memupuk dialog reka bentuk di ibu kota ini.
Penganjur berkata, dalam mengharungi era yang diubah oleh kecerdasan buatan (AI), tema Perspektif Reka Bentuk x Golden Pin Design Salon KL 2025 dipilih bagi mengkaji bagaimana teknologi boleh meningkatkan dan bukannya menggantikan kreativiti manusia dan konteks budaya.
“Tema tahun ini akan meneroka reka bentuk di persimpangan kemajuan teknologi dan tradisi, mempamerkan bagaimana pereka boleh mencipta inovasi bermakna yang menghormati warisan budaya sambil menerima masa depan kemungkinan.
“Sepanjang dekad yang lalu, kami telah melawat lebih daripada 21 bandar Asia termasuk Shanghai, Macau, Kuala Lumpur, Hong Kong, Bangkok dan Taipei.
“Lebih daripada 100 pakar reka bentuk yang paling terkenal di Asia telah mengambil bahagian dalam pertukaran reka bentuk antarabangsa ini menerusi inspirasi dan peluang rangkaian yang bertujuan untuk mempromosikan Anugerah Reka Bentuk Pin Emas dalam kalangan pereka Asia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Penganjur menambah, bagi edisi Kuala Lumpur 2025, pihaknya akan menampilkan dua sesi berbeza dalam mengkaji pelbagai aspek wacana dinamik untuk meneroka bagaimana reka bentuk bpleh menghormati memori budaya bangunan.
Katanya, ia bertujuan menggunakan ruang destinasi kontemporari yang semula jadi bagi mewujudkan persekitaran yang dirasakan biasa namun dipertingkatkan melalui teknologi dan estetika.
“Panel akan meneliti trend yang semakin meningkat ini dalam landskap bandar Malaysia, di mana struktur sejarah sedang dibayangkan semula dengan teliti untuk kegunaan moden,” katanya.
Bagi yang ingin menghantar karya ke Anugerah Reka Bentuk Pin Emas ini, boleh mendapat maklumat lanjut di https://www.facebook.com/share/p/16GrMXSgNr/.
Sementara itu, sejak dibuka kepada peserta global pada 2014, Anugerah Reka Bentuk Pin Emas telah menarik penyertaan daripada syarikat dan pereka terkemuka di seluruh dunia di mana karya mereka mendapat pengiktirafan dan pendedahan antarabangsa. – MalaysiaGazette