Mohideen Abdul Kader

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan Sungai Teluk Gong di Pelabuhan Klang yang kini serius diancam pencemaran.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya kesal dengan kejadian tersebut kerana ia bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah boleh mengancam kesihatan penduduk, kehidupan pelbagai spesies di dalam sungai berkenaan serta sumber pendapatan para nelayan.

Katanya, CAP hairan bagaimana masalah pencemaran ini gagal dikesan lebih awal dan tidak diambil tindakan oleh pihak bertanggungjawab sehingga ia menjadi semakin parah.

“Laporan media menyatakan hasil ujian kualiti air dari empat anak sungai sepanjang kira-kira 20 kilometer mengelilingi Teluk Gong hingga ke Pelabuhan Klang oleh sebuah makmal bebas bertauliah di Selangor mendapati kandungan ammonia dalam air adalah sangat tinggi.

“Selain itu, Keperluan Oksigen Biokimia (BOD) dan Keperluan Oksigen Kimia (COD) juga tinggi daripada paras biasa mengikut Standard Kualiti Air Kebangsaan (NWQS) iaitu berada pada kelas V, kategori paling tercemar,” katanya dalam kenyataan media.

Tambah Mohideen, kandungan BOD, COD dan kadar pencemaran organik atau karbon organik (TOC) serta ammonia yang sangat tinggi menjadikan air sungai itu bertoksik kepada kehidupan termasuk ikan tidak mampu hidup di dalamnya.

“Kawasan Teluk Gong dipercayai tercemar akibat kewujudan kilang yang disyaki beroperasi secara haram dan membuang sisa tidak mengikut prosedur yang betul.

“CAP menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh serta pemantauan berterusan bagi memastikan masalah ini ditangani secara berkesan dan tidak berulang.

“Selain penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan, JAS Selangor perlu melaksanakan peraturan yang termaktub dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan tegas terhadap pihak yang menjadi punca kejadian ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here