TAPAH – Calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek enggan mengulas dakwaan beliau menipu Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bagi memperoleh lesen guru tauliah.

Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah itu hanya menjawab dengan ringkas bahawa isu berkenaan sudah dijelaskan meskipun tiada sebarang laporan dikeluarkan daripada mana-mana media.

“Saya ingat yang itu clear (jelas), yang itu semua dah clear sebab kita dah ada keputusan daripada Majlis Agama Islam itu semua tiada masalah apa-apa, InshaAllah,“ katanya.

Beliau ditemui media selepas selesai Proses Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, di Dewan Merdeka, di sini hari ini.

Sementara itu, Abd Muhaimin berharap kempen yang akan berlangsung selama dua minggu ini akan berjalan dengan lancar.

“Saya mengharapkan kempen yang baik, yang datang daripada hati, mesra rakyat, penuh dengan kasih sayang dan penuh dengan rasa mahabah kerana kita menghidupkan demokrasi.

“Kalah menang itu cerita kemudian. Kita nak menjalankan kempen dengan cara yang baik-baik di peringkat parti kerajaan atau parti pembangkang untuk menghidupkan demokrasi di tempat kita ini,” ujarnya.

Beliau berkata, setiap calon yang masuk bertanding sudah pasti berharapkan kemenangan.

“Saya masuk bertanding walaupun kali pertama tapi saya amat positif kerana kita bertawakal kepada ALLAH SWT kita usaha gigih untuk dapatkan kemenangan, dan kita akan dapatkan kemenangan.

“Kita juga akan berusaha untuk pergi ke seluruh rumah pengundi-pengundi dalam tempoh ini (kempen) sedaya termampu dengan kesihatan, kederat dan jentera yang ada, InsyaAllah,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here