Yahaya Othman

KUANTAN – Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tidak terlibat dalam operasi penguatkuasaan di kebun durian di Raub seperti yang tular di media sosial, sejak semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, setakat ini, tiada pergerakan mahupun arahan daripada kerajaan negeri mengenai penglibatan tentera dalam operasi berkenaan.

Beliau berkata mengenai operasi itu, pihaknya telah menerima tiga laporan dibuat oleh pegawai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), polis dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Kita telah buka kertas siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, iaitu menghalang penjawat awam melaksanakan tugas,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi lebih 25 saat yang memaparkan pergerakan beberapa kenderaan tentera di satu kawasan, yang didakwa bagi membantu operasi terbabit.

Media melaporkan, pekebun didakwa telah bertindak menghalang laluan dengan membawa kain rentang bagi menunjukkan ketidakpuasan hati, kerana penguat kuasa memusnahkan tanaman mereka yang berusia puluhan tahun, namun keadaan berjaya dikawal tanpa sebarang insiden.

Kerajaan Pahang sebelum ini juga menafikan telah melanggar perintah mahkamah dengan menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan di Sungai Klau, Raub pada 8 April lepas. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here