REMBAU – Lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia pada minggu depan bakal memperkukuh hubungan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata lawatan itu sudah lama dirancang.
“Tahun ini Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, banyak rangka kerja yang perlu kita uruskan terutamanya bilateral Malaysia-China dan ASEAN-China.
“Pada Mei nanti, akan berlangsung Sidang Kemuncak ASEAN GCC-China untuk pastikan hubungan dagang itu diperkukuhkan serta negara ASEAN dapat meningkatkan perdagangan sesama sendiri terutamanya keadaan ketidaktentuan ekonomi dunia masa kini,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Luar dan Parlimen Rembau di Kampung Tanjung, Rantau di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Malaysia akan menerima lawatan negara Xi yang dijadual bermula 15 hingga 17 April ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil berkata lawatan negara itu bukan sahaja dinanti-nantikan, malah mencerminkan hubungan perdagangan yang lebih baik antara Kuala Lumpur-Beijing. -MalaysiaGazette