KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim adalah antara hadirin Majlis Pembukaan Kapsul Masa Wawasan 2020 dan Majlis Raikan Raya bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di Menara Kuala Lumpur (Menara KL) esok.
Pengarah Urusan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) dan Hydroshoppe Sdn Bhd, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh berkata, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim juga akan hadir pada majlis itu.
“Saya juga dimaklumkan pihak kedutaan Amerika Syarikat (AS) juga akan hadir meraikan bersama momen penting dan cukup bersejarah ini.
“Pihak MKLSB amat menghargai semua yang sudi hadir, kita harap majlis ini akan memperkukuh lagi hubungan baik yang telah terjalin dan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tun Dr. Mahathir bakal buka kapsul masa di Menara KL sempena Aidilfitri
Selepas hampir tiga dekad disimpan rapi, kapsul masa yang ditanam di Menara Kuala Lumpur pada tahun 1996 bakal dibuka secara rasmi oleh negarawan negara, Tun Mahathir yang menyimpan mesej dan dokumen penting ketika beliau meminpin negara.
Daripada lima kapsul masa yang telah ditanam, hanya satu kapsul akan dibuka pada tahun ini.
Pembukaan ini merupakan yang pertama kali dilaksanakan sejak penanaman kapsul tersebut, meskipun negara telah melalui beberapa pentadbiran Perdana Menteri selepas Dr Mahathir. -MalaysiaGazette