KUALA LUMPUR – Pelakon dan model Zahnita Wilson mengakui dia sudah terlalu letih atau burnout selepas diasak dengan pelbagai dakwaan berkaitan rumah tangganya yang membabitkan rakan perniagaannya.
Wanita berusia 40 tahun itu berkata, dia berdepan banyak tekanan sejak kebelakangan ini hingga memaksa dirinya memperlahankan aktiviti termasuk menghentikan seketika operasi jualan pai bagi mencari ketenangan jiwa.
“Saya berada di ambang keletihan yang terlalu penat (burnout). Saya letih dari segi mental, emosi dan fizikal, jadi berilah ruang untuk saya berehat sekejap
“Saya akan kembali mengambil pesanan dalam masa satu minggu lagi atau seterusnya. Terima kasih banyak atas sokongan anda,” tulis di Instagram miliknya, di sini, hari ini.
Sementara itu, Zahnita atau nama sebenarnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson menjemput wakil media hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang pada 18 April ini sempena sebutan kes cerainya dengan Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor.

Menurut pelakon Kuliah Cinta itu, prosiding akan membabitkan tiga tuntutan serentak meliputi hadanah, injunksi interim bagi menghalang gangguan serta pemulangan barangan peribadi.
“Kes turut merangkumi isu penyalahgunaan anak dalam media sosial selain pelantikan hakam keluarga bagi kedua-dua belah pihak.
“Saya akan jawab semua persoalan media selepas selesai prosiding,” ujarnya.
Kelmarin, seorang wanita bernama Nur Hanisah yang juga bekas rakan kongsinya tampil membuat beberapa dakwaan terhadap Zahnita termasuk mempersoalkan kredibiliti kenyataan aktres berkenaan mengenai kes penderaan rumah tangga.
Sebagai reaksi balas, Zahnita memuat naik salinan laporan kesihatan daripada Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dipercayai bagi menyokong dakwaan kecederaan fizikal dialami.
Dalam masa sama, dia turut mendedahkan mesej perbualan bersama peguam yang memaklumkan pihak pembelaan mahu memfailkan representasi bagi menggugurkan atau meminda pertuduhan berkaitan keganasan rumah tangga.
Difahamkan, kes akan disambung pada 14 Mei depan untuk proses dokumentasi lanjut.
Terdahulu, Zahnita sebelum ini pernah mencetuskan kekecohan apabila memuat naik foto menunjukkan matanya lebam pada 2 Disember 2024 dan mendakwa dipukul suami.
Susulan kejadian itu, Abdul Zackery dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan pada 4 Disember atas dua tuduhan termasuk mendatangkan kecederaan dan kesalahan berkaitan dadah. – MalaysiaGazette