Situasi terkini kenderaan dan rumah yang musnah berikutan insiden letupan paip gas ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kampung Kuala Sungai Baru, Subang Jaya. Foto SADIQ SANI, 12 APRIL 2025

PUCHONG – “Rumah terbakar, harta benda habis, bantuan RM10,000, cukupkah semua itu? Siapa nak ambil tanggungjawab untuk semua yang kami hilang hari ini?,”

Itu persoalan salah seorang mangsa kebakaran paip gas di Kampung Kuala Sungai Baru, Mohd Faizal Yunus mengenai hala teju kehidupannya.

Faizal yang rumahnya mengalami kerosakan bumbung akibat kesan daripada serpihan batu menganggarkan kerugian yang dialaminya mencecah lebih RM10,000 hanya untuk membaik pulih struktur atas rumah dan siling.

Penduduk mula melakukan kerja-kerja pembersihan kenderaan dan rumah yang musnah berikutan insiden letupan paip gas ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kampung Kuala Sungai Baru, Subang Jaya. Foto SADIQ SANI, 12 APRIL 2025

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana rumahnya masih utuh berdiri, berbeza dengan nasib segelintir jiran-jirannya yang mengalami kemusnahan teruk.

“Ada rumah yang memang hangus terus. Tak ada satu barang pun dapat diselamatkan. Macam mana nak ganti dengan hanya RM10,000? Rumah sekarang bukan RM10,000 boleh buat.

“Pihak yang bertanggungjawab kena ambil tanggungjawab. Harap tidak ada yang lepas tangan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui ketika membersihkan kediamannya hari ini.

Bagi Faizal, bantuan sementara yang diberi amat dihargai tetapi tidak cukup untuk mengembalikan kehidupannya dalam sekelip mata.

Penduduk berehat di hadapan rumah yang musnah berikutan insiden letupan paip gas ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kampung Kuala Sungai Baru, Subang Jaya. Foto SADIQ SANI, 12 APRIL 2025

“Kalau betul nak bantu, kena nilai betul-betul kerosakan. Bukan semua orang dapat duduk balik rumah mereka. Rumah saya tidak seteruk mangsa malah ketika insiden, saya sedang beraya bersama keluarga di tempat lain.

“Tetapi yang teruk tu, kena mula dari kosong. Yang ‘total loss’ tu keadaan mereka sangat menyedihkan,” ujarnya.

Faizal turut mempersoalkan keadilan kepada mereka yang tidak bersalah tetapi kini terpaksa menanggung beban akibat insiden yang berlaku bukan kerana kesilapan sendiri.

“Saya harap sangat ada keadilan. Pihak berkuasa kena berani tampil dan bertindak. Nilai semula pampasan. Bayar balik apa yang orang kampung hilang. Ini bukan sekadar rumah ini hidup mereka,” ujarnya.

Mangsa, Mohd Nasir Ab Hamid, 69, bercakap ketika ditemubual mengenai insiden letupan paip gas Putra Heights di Kampung Kuala Sungai Baru, Subang Jaya. Foto SADIQ SANI, 12 APRIL 2025

Mohd Nasir Ab Hamid, 69, melahirkan rasa sedih kerana terpaksa menanggung kerugian besar apabila kediaman yang dibina  sendiri lebih 30 tahun lalu musnah teruk.

“Rumah ini saya bina sikit-sikit, dari muda sampai anak-anak besar. Saya sudah duduk sini lebih 30 tahun. Banyak kenangan sekarang semua dah jadi abu. Nak ganti macam mana?,” soalnya.

Selain rumah, koleksi motosikal klasik yang dikumpul Mohd Nasir bersama anak-anaknya turut musnah dalam indisen tersebut.

“Enam tujuh biji motor semua hangus. Kereta pun sama. Anak saya nak bertunang dalam masa terdekat, semua barang termasuk cincin dan duit dah terbakar. Tak sempat selamatkan apa pun, sedih sangat,” katanya.

Penduduk memeriksa kenderaan dan rumah yang musnah berikutan insiden letupan paip gas ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kampung Kuala Sungai Baru, Subang Jaya. Foto SADIQ SANI, 12 APRIL 2025

Mohd Nasir kini menyewa rumah berhampiran dan masih menanti bantuan kerajaan untuk meneruskan kehidupan, sambil berusaha memulakan perniagaan kecil keluarga menjual kuih dan nasi lemak.

“Kami redha, seluruh keluarga juga terpaksa terima hakikat pahit. Kini kita harap sangat pihak berwajib akan dapat bantu selesai isu ini secepat mungkin, itu sajalah,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Selepas enam bulan, apa nasib mangsa kebakaran paip gas di Putra Height?

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast