Tiga lelaki tempatan ditahan dalam dua kejadian berasingan membabitkan kecurian kabel telekom di kawasan Putra Perdana dan Sepang, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Polis Daerah Sepang menahan tiga lelaki tempatan dalam dua kejadian berasingan membabitkan kecurian kabel Telekom Malaysia Berhad (TM) di Putra Perdana dan Sepang, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Shan Gopal Gopal Krishnan berkata, tangkapan pertama dilakukan kira-kira jam 10.30 malam 11 April lalu oleh anggota Unit Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Putra Perdana.

Kata beliau, dua lelaki berusia lingkungan 35 hingga 40 tahun ditahan dalam operasi itu.

“Ketika tangkapan, salah seorang suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri, namun berjaya diberkas bersama barangan dipercayai digunakan untuk kegiatan curi kabel,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kata Shan Gopal, antara barang rampasan dalam kes berkenaan ialah sebuah kenderaan, dua alat pembuka main hole, sebatang penyangkuk besi, sebuah telefon bimbit serta satu paket plastik lut sinar berisi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu.

Katanya, anggaran kerugian dalam kes pertama itu adalah sebanyak RM3,600.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 379 dan 186 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, serta hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda hingga RM10,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

Sementara itu, dalam kes kedua, kata Shan Gopal, tangkapan melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang diberkas pada jam 4 pagi 12 April lepas dengan suspek ditahan bersama dua gelung kabel TM yang dianggarkan sepanjang 30 meter.

“Anggaran kerugian dalam kes kedua adalah RM1,800 dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Difahamkan ketiga-tiga suspek memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Polis kini sedang mengesan rakan sejenayah yang masih bebas. Kami mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat bagi membanteras aktiviti jenayah di daerah ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here