Anwar pada Majlis Peluncuran Pembinaan Semula Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah di Pulau Pinang hari ini.

PERMATANG PAUH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam di negara ini sentiasa menunjukkan teladan yang baik supaya Islam terus dihormati serta dipandang sebagai agama yang hebat.

Jelas Anwar, kehebatan Islam bukan datang daripada perbuatan menghina kaum lain atau bersikap angkuh, sebaliknya bergantung kepada akhlak dan keperibadian umatnya yang membawa nilai-nilai murni.

“Bagilah contoh teladan yang baik. Islam hebat bukan kerana kita maki orang atau hina kaum lain.

“Islam itu hebat kerana dia tengok contoh kita itu baik..masjid kita paling bersih, indah, kariah kita paling baik peribadinya, anak-anak kita itu cukup terlatih dan cukup disiplin..itu yang akan menyebabkan orang hormat kita dan bukan kerana angkuh kita atau kerana kita memilih untuk menghina yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembinaan Semula Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah di sini, hari ini.

Anwar.

Masjid berkenaan yang berusia 30 tahun dan terletak di kampung halaman Perdana Menteri akan dibina semula dengan kos RM15 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2027.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mohamad Abdul Hamid.

Dalam perkembangan sama, Anwar turut mengingatkan semua pihak termasuk kerajaan dan institusi zakat agar memainkan peranan penting dalam memelihara institusi masjid serta memastikan bantuan sampai kepada golongan memerlukan.

“Institusi masjid perlu dibangunkan berlandaskan nilai takwa seperti yang digariskan dalam Al-Quran, demi menjamin perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.

“Dalam Al-Quran ada menyebut, ada masjid diasaskan kerana ketakwaan kepada Allah SWT, nilainya murni, membawa perpaduan dalam masyarakat, memahat keimanan, menjaga keharmonian masyarakat.

“Kalau bina masjid dengan niat baik, penuh amanah dan telus, insya-Allah Allah akan permudahkan. Jangan jadikan pembinaan masjid satu lagi projek biasa yang tidak membawa roh Islam itu sendiri,” katanya.

Tambah beliau, masjid perlu kembali memainkan peranan asal sebagai pusat tarbiah, ilmu dan kebajikan kepada masyarakat setempat.

“Masjid bukan hanya tempat solat tetapi tempat menyantuni fakir miskin, pusat agihan zakat, tempat orang datang mengadu, dan medan untuk menyampaikan ilmu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here