KUANTAN – Pengursan Air Pahang Berhad (PAIP) telah memotong bekalan air di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ubi, di sini kerana bil sudah mencecah RM10,000.
Tindakan PAIP itu mendapat perhatian pemilik akaun Facebook Alim Shah, yang memohon waris dan orang ramai agar memberi sumbangan untuk menyelesaikan isu berkenaan.
“Dukacita pihak PAIP telah memotong bekalan air ekoran bil semasa sudah mencapai RM10,000 mohon waris-waris dan penyumbang semua boleh sedekah serba sedikit.
“Ia juga bagi memudahkan waris-waris dan kerja pengalian kubur di kawasan berkenaan, mohon sebarkan semoga dipermudahkan urusan bagi penyumbang boleh terus bayar ke akaun PAIP,” katanya.
Nombor akaun PAIP 01-350878-58 atas nama Tanah Perkuburan Bukit Ubi Kuantan turut disertakan dan beliau berharap agar semoga sedekah jariah yang dihulurkan dapat membantu memudahkan urusan tersebut.
Pemilik akaun Facebook tersebut, Tuan Abdul Alim Shah Tuan Abdullah, 35, ketika dihubungi wartawan MalaysiaGazette mengesahkan bil berkenaan diserahkan oleh penggali kubur di kawasan berkenaan pada Jumaat lalu.
Beliau dimaklumkan bekalan air telah dipotong sejak bulan Ramadan lalu, 20 Mac 2025.
Tambah beliau, ketiadaan peti surat menyebabkan pihak PAIP menyelit bil berkenaan di celah pagar, sekali gus menyukarkan komunikasi dengan pihak pengurusan untuk menerima bil sebenar.
“Saya difahamkan kali terakhir bayaran dibuat pada sekitar tahun 2023,” katanya yang tidak menolak bil kawasan perkuburan itu terlalu tinggi mungkin disebabkan berlaku kebocoran paip.
Beliau yang sering menziarahi pusara orang tuanya sejak tahun 2008 berharap isu berkenaan dapat dibantu oleh semua waris selepas perkara berkenaan dikongsikan pada halaman media sosialnya pada 11 April lalu.
Alim Shah mengakui ada beberapa pihak tampil menghubungi dan bertanyakan isu berkaitan dengan niat membantu.
Sementara itu, MalaysiaGazette cuba mengubungi pihak PAIP tapi masih belum menerima sebarang respons. – MalaysiaGazette