KUALA LUMPUR – Gangguan bekalan air berlaku di Universiti Malaysia Sabah (UMS) melibatkan beberapa unit dan blok kolej kediaman.
UMS berkata, gangguan ini berlaku susulan kadar kemasukan air ke Tangki R13 milik Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang terletak dalam kawasan kampus berada pada paras yang rendah, iaitu purata sekitar paras 1 daripada skala 10.
Penggunaan air pada kapasiti yang banyak serta insiden kecurian air di lokaliti berjiran dengan kampus induk telah dikenalpasti oleh pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sebagai punca terjejasnya bekalan air yang melalui saluran paip ke tangki R13.
Katanya, tangki R13 bukan sahaja membekalkan air kepada UMS, tetapi juga kepada beberapa bangunan dan kawasan luar kampus seperti Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Pejabat Persekutuan Putrajaya Cawangan Sabah, kawasan Alam Mesra, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas serta kawasan perumahan sekitar.
“Pihak universiti sedang mengambil langkah proaktif dan menyeluruh bagi memastikan kebajikan dan keperluan asas pelajar sentiasa terjaga sepanjang tempoh gangguan ini. Bermula jam 2.00 pagi tadi, tekanan air dari JANS ke Tangki R13 mula kembali pulih dan sebanyak 3 juta liter air telah berjaya dipam ke tangki tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.
Ketika kenyataan ini dikeluarkan, bekalan air ke seluruh kampus telah bertambah baik setelah usaha-usaha pemotongan penyambungan paip secara tidak sah di sekitar perkampungan setinggan berdekatan kampus dilakukan.
Namun, Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) UMS akan terus menyelaras penyaluran air berdasarkan kadar bekalan semasa serta memanfaatkan sumber alternatif seperti tubewell.
Sehubungan itu, pihak pengurusan universiti memohon agar seluruh warga kampus sentiasa peka dengan makluman semasa dan melaporkan sebarang isu berkaitan kepada pihak universiti.
UMS turut bekerjasama rapat dengan JANS dan agensi berkaitan bagi mempercepat usaha pemulihan bekalan air secara menyeluruh.
“Pihak universiti amat menghargai kesabaran dan kerjasama semua pelajar serta warga kampus dalam menghadapi situasi ini.
“Pelajar disaran menggunakan air secara berhemah, menjaga kebersihan diri dan sentiasa mengikuti makluman rasmi yang disalurkan melalui aplikasi mudah alih UMS, laman media sosial rasmi universiti, serta saluran komunikasi kolej masing-masing,” ujarnya. – MalaysiaGazette