Saifuddin Shafi Muhammad menang besar dalam pemilihan Cabang di Hulu Selangor.

KUALA LUMPUR – Dua Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari menerima nasib berbeza dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 apabila seorang menang bergaya, manakala seorang lagi tewas tipis di dua cabang penting parti.

Saifuddin Shafi Muhammad mencatat kemenangan besar di Cabang Hulu Selangor apabila berjaya merebut jawatan Timbalan Ketua Cabang dengan memperoleh 2,881 undi, sekali gus membuktikan pengaruh dan kekuatan sokongan akar umbi di kawasan tersebut.

Kemenangan itu dilihat sebagai lonjakan moral penting buat Saifuddin yang turut mengumumkan kesediaannya untuk menawarkan diri bertanding ke jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada pemilihan peringkat nasional Mei ini.

“Saya mara dengan mandat ini kerana percaya bahawa suara akar umbi perlu dibawa ke peringkat tertinggi parti. Ini bukan soal kedudukan, tetapi tanggungjawab untuk membina masa depan parti bersama rakyat,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Rahim Kasdi pula kalah tipis di Cabang Gombak apabila tewas jawatan Timbalan Ketua Cabang dengan beza hanya 36 undi dengan lawannya, Mohammad Faizal Ismail yang menang 1,177 undian semalam.

Rahim Kasdi di Gombak.

Amirudin pula kekal menang tanpa tanding sebagai Ketua Cabang Gombak pada pemilihan kali ini.

Kekalahan tipis itu mencerminkan saingan sengit di Gombak yang sememangnya terkenal sebagai salah satu cabang paling aktif dan kompetitif dalam PKR.

Kedua-dua Supol ini merupakan antara wajah penting dalam pentadbiran Selangor, dan penyertaan mereka dalam pemilihan cabang kali ini mencerminkan usaha penyegaran kepimpinan serta keterlibatan langsung pentadbir muda dalam memperkukuh struktur parti menjelang cabaran politik mendatang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here