BUTTERWORTH – Empat rakan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan rompakan sehingga mendatangkan kecederaan terhadap dua individu antara 23 Mac dan 8 April lalu.
Tertuduh R. Jegatisvaran, 35; R. Keshen Raj, 21; T. Naarentheran, 21; dan R. Rakesh Ruhilan, 21, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan secara bersama terhadap mereka di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Mengikut pertuduhan pertama, kesemua mereka bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan semasa merompak motosikal jenis Yamaha Y125ZR milik seorang lelaki berusia 25 tahun.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di belakang sebuah pondok kosong di Jalan Telaga Air di sini pukul 5.30 petang pada 23 Mac lalu.
Manakala bagi pertuduhan kedua, kesemua mereka termasuk seorang lagi yang masih bebas didakwa merompak dua buah telefon bimbit sehingga mendatangkan kecederaan ke atas pemilik berusia 17 tahun di kawasan padang bola Flat Mak Mandin, Taman Sukaria pukul 2 pagi pada 8 April lalu.
Bagi kedua-dua kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin tidak menawarkan sebarang jaminan atas faktor bimbang keempat-empat tertuduh mengganggu mangsa.
Bagaimanapun, peguam, P. Vaasudevan yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan serta bersedia untuk mematuhi syarat tambahan yang dikenakan mahkamah.
“Tertuduh pertama iaitu Jegatisvaran mempunyai seorang cahaya mata dan bekerja menjual scrap metal manakala Keshen Raj perlu menyara ayahnya dengan pendapatan bulan RM1,700.
“Naarentheran pula bekerja sebagai penghantar kurier namun tidak memiliki gaji tetap dan Rakesh Ruhilan merupakan penganggur,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM18,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 14 Mei depan bagi serahan dokumen serta laporan perubatan mangsa. – MalaysiaGazette