KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dimasukkan ke Institut Jantung Negara pada Ahad pada jam 1 pagi disebabkan mengalami masalah sesak nafas dan dirawat Unit Penjagaan Koronari (CCU).
Ketua Jabatan Kardiologi Datuk Dr Azmee Ghazi berkata, Allahyarham telah dirawat dengan semua sistem sokongan yang ada.
“Termasuk sokongan ventilasi dan juga alat-alat untuk membantu tekanan darah dia, tetapi dengan sokongan maksimum sokongan yang kami berikan, Tun Abdullah tidak dapat kami selamatkan.
“Saya rasa salah satu faktor pertama sekali adalah faktor usia, kemudian sebab keadaan sesak nafas itu menyebabkan organ-organ lain dalam badan pun kurang berfungsi walaupun telah dibantu dengan mesin pernafasan dan ubat untuk jantung dan sebagainya.
“Tapi saya rasa faktor usia memainkan peranan yang besar dalam hal ini dan sedihnya tak dapat dibantu,” katanya.
Sementara itu, Khairy Jamaluddin mengucapkan terima kasih kepada IJN kerana telah merawat Tun Abdullah selama ini serta telah berusaha sedaya upaya menyelamatkan Allahyarham.
Abdullah yang merupakan Perdana Menteri kelima meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, hari ini.
Perkara itu disahkan oleh menantunya, Khairy Jamaluddin, dalam hantaran menerusi laman sosial yang memaklumkan bahawa Allahyarham yang juga dikenali dengan panggilan ‘Pak Lah’, menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam. -MalaysiaGazette