Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi

KUALA LUMPUR – Pemergian Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini meninggalkan kesan besar kepada seluruh negara.

Khabar duka pulangnya `Pak Lah’ ke rahmatullah pada usia 85 tahun pukul 7.10 malam tadi, disahkan oleh Institut Jantung Negara (IJN) di sini.

Selepas Allahyarham bersara dari dunia politik, menantu beliau yang juga Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin buat kali pertama pada 2022 mendedahkan bahawa Tun Abdullah menghidap demensia.

Menurut sumber keluarga terdekat, Allahyarham dikatakan mula menunjukan tanda-tanda demensia selepas bersara daripada jawatan Perdana Menteri apabila tidak mengingati namanya, isteri serta ahli keluarga lain.

Menyorot era kepimpinannya, Allahyarham merupakan pencetus moto ‘Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’ yang membuktikan komitmen sangat tinggi sehingga melahirkan pentadbiran yang Islamik, jujur dan cekap.

Allahyarham menarik perhatian umum ketika berpegang kepada pendirian `Jangan bekerja untuk saya, tetapi mari bekerja bersama-sama saya’ sewaktu mula-mula dilantik sebagai Perdana Menteri, membuktikan hasratnya mengajak setiap lapisan masyarakat bersama beliau membangunkan negara.

Tiada siapa boleh melupakan jasa Tun Abdullah selaku Bapa Pembangunan Modal Insan yang mengasaskan konsep baharu dalam pembangunan negara berasaskan kepada kekuatan pembangunan modal insan.

Ciri utama keperibadian Allahyarham adalah tampil sebagai pemimpin yang bersederhana serta merendah diri sehingga disegani oleh segenap lapisan masyarakat.

Namun sikap yang disenangi ramai itu tidak menghalang Allahyarham untuk sentiasa tegas dan tidak berkompromi dalam membanteras rasuah bagi mewujudkan pentadbiran yang berintegriti ketika memimpin negara dari 2003 hingga 2009.

Ketika pentadbirannya, Allahyarham bertanggungjawab memperkenal Islam Hadhari yang memfokus untuk meningkatkan pembangunan dan mutu kehidupan sesebuah masyarakat secara keseluruhan, dengan memberi penekanan kepada penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang dan pembangunan modal insan.

Tun Abdullah ketika pentadbiran sebagai Perdana Menteri kelima turut mengisytiharkan perang terhadap gejala rasuah yang dianggap sebagai musuh utama negara.

Allahyarham yang merupakan anak sulung daripada empat beradik, dilahirkan pada pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Anak lelaki pasangan Ahmad Abdullah Fahim (lebih dikenali sebagai Ahmad Badawi) dan Datuk Khailan Hassan juga merupakan cucu kepada Sheikh Abdullah Fahim, seorang ahli falak yang mencadangkan tarikh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 kepada Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman.

Allahyarham menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Permatang Bertam, Kepala Batas dan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Daeratul Maarifil Al-Wataniah, Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan Sekolah Lelaki Methodist Pulau Pinang.

Tun Abdullah kemudian meneruskan pengajian di Universiti Malaya (UM) dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam pada 1964.

Abdullah menyertai sektor perkhidmatan awam sebagai Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awam pada 1964. Pada 1969, beliau bertukar ke Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), sebuah badan yang berkuasa eksekutif untuk mentadbir negara yang ditubuhkan selepas rusuhan kaum pada Mei 1969.

Beliau kemudian dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pengarah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, sebelum menjadi Timbalan Ketua Setiausaha di kementerian yang sama pada 1974.

Karier politiknya bermula pada 1964 ketika menyertai UMNO dan mula bergerak aktif dalam arena politik selepas menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas pada 1978 dan meletak jawatan dalam perkhidmatan awam untuk menjadi ahli politik sepenuh masa.

Pada 1978, Abdullah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan dan dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Menteri di kementerian pada 1980.

Beliau kemudian mula memegang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1981 – 1984); Kementerian Pendidikan (1984 – 1986); Kementerian Pertahanan (1986-1987) dan Kementerian Luar Negeri (1991 – 1999).

Beliau dipilih untuk memegang jawatan Naib Presiden UMNO pada 1984, 1987, 1990 dan dipilih semula untuk jawatan itu pada 1996.

Pada 1999, Abdullah terus diberi kepercayaan apabila Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad melantik beliau sebagai timbalannya dan Timbalan Presiden UMNO. Ketika itu juga, beliau ialah Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Abdullah dilantik menjadi Perdana Menteri kelima pada 31 Oktober 2003 dan menerajui negara selama enam tahun.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO pada Mac 2009, beliau membuat keputusan untuk tidak mempertahankan kedudukan sebagai Presiden yang seterusnya menarik diri daripada menjadi Perdana Menteri.

Abdullah kemudian digantikan timbalannya, Datuk Seri Najib Razak yang menjadi Perdana Menteri pada 2 April 2009.

Abdullah mendirikan rumah tangga dengan pasangan, Datin Seri Endon Mahmood pada 1965 dan dikurniakan dua cahaya mata, Datuk Kamaluddin serta Nori. Pada 20 Oktober 2005, Endon meninggal dunia akibat kanser payu dara. Abdullah, kemudian berkahwin dengan Tun Jeanne Abdullah pada 9 Jun 2007. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast