Memangku Tugas Tugas (MTT) Penolong Ketua Pengarah Kastam JKDM Zon Tengah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman menunjukkan barangan rampasan Dadah jenis Bunga Ganja yang berjaya dirampas ketika Sidang Media Kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Unit iii Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAKL) merampas RM 20.5 dadah Jenis Bunga Ganja di Kompleks Kastam Kargo KLIA, Sepang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 APRIL 2025

SEPANG – Berselindung di sebalik bungkusan makanan ringan dan makanan haiwan, cubaan penyeludupan 210 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai RM20.57 juta berjaya ditumpaskan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) pada 15 Mac lalu.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Tengah, Dr. Ahmad Taufik Sulaiman berkata, cubaan itu dipatahkan meskipun sindiket mengikrar barang dagangan tersebut sebagai kasut dan pakaian lusuh.

“Pada 15 Mac 2025, sepasukan Bahagian Penguatkuasaan Zon Tengah, Unit III, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membuat pemeriksaan ke atas satu dagangan di salah sebuah pengendali terminal kargo udara yang beroperasi di Zon Perdagangan Bebas KLIA.

“Hasil pemeriksaan mendapati dagangan tersebut mengandungi bahan yang disyaki dadah jenis ganja. Dadah tersebut dipercayai cuba diseludup dari salah sebuah negara Asia Tenggara dan transit di Malaysia sebelum dihantar ke destinasi terakhir di salah sebuah negara Eropah,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Kargo JKDM KLIA hari ini.

Memangku Tugas Tugas (MTT) Penolong Ketua Pengarah Kastam JKDM Zon Tengah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman menunjukkan barangan rampasan dadah jenis bunga ganja yang dirampas ketika Sidang Media Kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Unit iii Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAKL) di Kompleks Kastam Kargo KLIA, Sepang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 APRIL 2025.

Ahmad Taufik berkata, rampasan dadah berbentuk bunga ganja itu tidak membabitkan sebarang tangkapan setakat ini.

“Kes ini masih dalam siasatan dan syarikat yang terbabit dalam penyeludupan barang terlarang itu dipercayai dari sebuah negara di Asia Tenggara.

“Ganja adalah dadah berbahaya yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama, Bahagian I dan Bahagian II, Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Antara barangan rampasan dadah jenis bunga ganja yang berjaya dirampas ketika Sidang Media Kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Unit III Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAKL) di Kompleks Kastam Kargo KLIA, Sepang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 APRIL 2025.

Katanya lagi, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan akan dikenakan tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

Sehubungan itu orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya dadah, rokok, minuman keras, mercun, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dalam aktiviti tersebut.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Orang ramai diseru untuk memberikan kerjasama kepada JKDM dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dadah dan juga lain-lain barangan seperti rokok, minuman keras dan mercun dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam di semua negeri.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast