KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang mengadakan perbincangan dalam menangani isu harga benih padi bagi musim 1/2025 untuk meringankan beban golongan pesawah.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, KPKM akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat selepas satu penyelesaian terbaik dicapai.
“Kita sedang mengadakan perbincangan di kalangan semua pegawai dan kita akan keluarkan kenyataan selepas ini,” katanya selepas menhadiri Sambutan Hari Raya Peringkat Lembaga Pertuduhan Peladang 2025 di sini hari ini.

Semalam media melaporkan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) memohon KPKM mengeluarkan segera arahan penurunan harga benih padi bagi musim 1/2025 untuk meringankan beban golongan itu.
Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob berkata, ia berikutan harga kawalan benih padi di pintu kilang pada ketika ini masih RM58 satu beg (20 kilogram) seperti ditetapkan pada Mac 2024, iaitu ketika harga padi semasa yang ditawarkan kilang mencapai hingga RM1,800 satu tan.
“Penurunan harga belian padi pada tuaian yang lepas iaitu sekitar RM1,500 menjadikan harga benih semasa pada masa ini tidak lagi munasabah. Tindakan perlu disegerakan kerana musim tanaman padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) fasa pertama (pelepasan air) akan bermula pada 16 April ini.
“Sekarang pesawah terpaksa beli benih padi sah dengan harga RM58 satu beg (20 kilogram) dan kami cadangkan harga sesuai diturunkan kepada RM35 satu beg di pintu kilang,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Alor Belat di Pendang, Kedah.
