Sumber : Pahang Media

KUANTAN – Lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub dekat sini hari ini berhubung kejadian penguatkuasaan terhadap kebun haram Musang King baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Bebaskan Tanah Pahang, Masridzi Sat, laporan dibuat susulan video tular memaparkan provokasi Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui terhadap Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 9 April lalu.

“Kami menyokong penuh tindakan UPNP dan Kerajaan Negeri Pahang dan mengharapkan pihak berkuasa UPNP melalui KDN dan PDRM dapat bertindak dengan lebih tegas lagi.

“Ia termasuk menggunakan SOSMA jika perlu kepada kumpulan penceroboh tanah yang menengking, menghina, menghalang, dan membuat provokasi kepada penjawat awam yang sedang menjalankan tugas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Mohd Kamil Ibrahim berkata, pihaknya dan Pergerakan Pemuda UMNO akan menentang tindakan yang jelas melanggar undang-undang.

Beliau yang ditemui pemberita di perhimpunan 200 wakil NGO di Sungai Chalit, Raub menegaskan undang-undang tidak terpakai kepada pihak-pihak tertentu sahaja.

“Ini soal undang-undang sebenarnya. Kalau tak hormat undang-undang macam mana nak hormat benda lain. Dan kami Pemuda UMNO Raub dan Pemuda UMNO Malaysia konsisten. Selagi mana perkara pencerobohan ini diteruskan, kami akan tentang habis-habisan sehingga semua ini selesai,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abd Rahman memaklumkan pihaknya telah menerima 22 laporan berhubung operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian haram di Sungai Ruan sehingga hari ini.

“Kesemua laporan ini sebagai sokongan kepada tindakan penguatkuasa dalam menjalankan tugas dalam operasi terhadap kebun durian haram Musang King di Sungai Ruan,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri serta membuat tindakan berdasarkan undang-undang bagi memastikan keamanan negeri dan negara.

Tegas beliau, kejadian terbabit tidak seharusnya dikaitkan dengan perkauman sekaligus mengingatkan agar tidak menyentuh isu 3R iaitu berkaitan agama, kaum dan raja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast