Ketua Cabang Sungai Siput yang baharu, Novinthen Krishnan.

KUALA LUMPUR –  Novinthen Krishnan mencipta sejarah apabila menewaskan penyandang jawatan, Kesavan Subramaniam bagi jawatan Ketua Cabang PKR Sungai Siput.

Kesavan yang juga Ahli Parlimen Sungai Siput pernah digelar giant killer selepas menumbangkan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lepas pada awalnya dilihat sebagai calon pilihan kerana sokongan pengaruh politik yang kukuh.

Namun keputusan kali ini menyaksikan akar umbi memberi kepercayaan baharu kepada Novinthen untuk menerajui cabang tersebut dengan beza 32 undi sahaja.

Mengulas kemenangannya, Novinthen menyifatkan ia sebagai kemenangan suara rakyat akar umbi yang mahukan perubahan sebenar dalam landskap politik tempatan.

“Kemenangan ini bukan kemenangan saya secara peribadi, tetapi isyarat jelas daripada anggota parti bahawa mereka mahukan pendekatan yang lebih terbuka, inklusif dan berprinsip.

“Ini kemenangan bersama. Ia membuktikan bahawa ahli mahukan perubahan. Saya akan pikul amanat ini dengan penuh tanggungjawab. 

“Keputusan undi juga menunjukkan cabang ini berpecah maka kini tiba masanya untuk menyatukan kembali semua di bawah panji parti. Kita perlu membina semula, menyegarkan tenaga perjuangan, dan bersedia menghadapi PRU-16,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mengangkat tema Wacana Baharu, Perjuangan Belum Selesai sepanjang kempennya, Novinthen berikrar memperkukuh semula struktur cabang dengan memberi ruang kepada penyertaan lebih ramai anak muda serta memperjuangkan isu-isu rakyat dengan lebih berkesan.

“Saya akan pastikan Cabang Sungai Siput menjadi contoh cabang yang bersatu, berdaya saing dan sentiasa meletakkan rakyat di hadapan. Sudah tiba masanya kita bergerak dengan semangat baharu yang membawa nilai integriti, keadilan dan kebersamaan,” tegasnya.

Sementara itu, seorang pemerhati politik berpendapat  kekalahan Kesavan merupakan satu isyarat perubahan dalam dinamik politik dalaman parti.

Meskipun beliau masih merupakan ahli Parlimen kawasan tersebut, masa depan peranannya dalam struktur dalaman parti akan terus menjadi tumpuan.

Kemenangan Novinthen dijangka mencorak semula hala tuju PKR Cabang Sungai Siput menjelang pilihan raya akan datang, selain menguji kemampuan barisan kepimpinan baharu untuk menjayakan agenda reformasi parti di peringkat akar umbi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here