Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, bercakap pada sidang media berkenaan Kejayaan Menumpaskan Sindiket Pengedaran Dadah Ketamin dan Ekstati di Lembah Klang dengan Nilai Rampasan RM 1.6 Juta di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 05 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggerakkan seramai 1,089 pegawai dan anggotanya bagi mengawal keselamatan serta memastikan kelancaran lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke negara ini yang bermula esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, penugasan melibatkan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan kerjasama pelbagai jabatan di Bukit Aman.

Antara jabatan yang terlibat termasuk Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

“Seperti dimaklumkan sebelum ini, Presiden China akan menginap di sebuah hotel di Putrajaya dan laluan berhampiran hotel berkenaan akan ditutup sepenuhnya selama 30 hingga 40 minit bergantung kepada pergerakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur antara Datuk Azry Akmar Ayob dan Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad di IPK Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, pihaknya tidak memandang ringan sebarang potensi risiko sepanjang lawatan itu kerana ia membabitkan ketua negara asing paling berprofil tinggi yang melawat negara ini.

“Risiko boleh berlaku di mana-mana sahaja namun pasukan kami berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya. Lawatan ini juga mencatat sejarah penting dalam hubungan dua hala Malaysia dan China,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri sebelum ini memaklumkan sebanyak 17 laluan sekitar Lembah Klang dikenal pasti akan ditutup secara sementara antara 30 hingga 45 minit bergantung kepada pergerakan delegasi China. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast