GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan segera susulan teguran Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengenai masalah liputan internet dan telekomunikasi yang tidak memuaskan di 27 lokasi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, beberapa langkah proaktif telah diambil oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi seperti yang diarahkan oleh MCMC bagi memastikan perkhidmatan telekomunikasi di DUN Ayer Kuning dan lokasi tumpuan Pilihan Raya Kecil (PRK) berada pada tahap memuaskan.

Menurutnya, beberapa lokasi telah dikenal pasti sebagai kawasan keutamaan termasuk Pusat Penamaan Calon di Dewan Merdeka Tapah; 21 Pusat Mengundi di sekitar DUN Ayer Kuning; Pusat Media di Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang; dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Air Kuning dan NADI PPR Sri Bidor.

“Setakat pukul 6 petang semalam, semua penyedia perkhidmatan iaitu Celcom Digi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL telah mengemukakan pelan tindakan terkini yang ditambah baik MCMC,” katanya.

Tambahnya, antara inisiatif penambahbaikan yang telah dirancang termasuk pengoptimuman stesen pemancar sedia ada; pemasangan pemancar sementara dan perkongsian infrastruktur antara penyedia perkhidmatan.

Selain itu, katanya, kaunter Aduan MCMC turut dibuka di Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang, Tapah dari 12 hingga 26 April ini bagi mendekati masyarakat setempat.

Jelasnya, kaunter tersebut beroperasi setiap hari bermula 9 pagi hingga 9 malam bagi menerima sebarang aduan berkaitan telekomunikasi, pos dan isu lain di bawah bidang kuasa MCMC.

“MCMC akan terus memantau prestasi liputan secara harian dan akan menyampaikan sebarang aduan baharu terus kepada penyedia perkhidmatan untuk tindakan segera.

“Sebarang kelewatan atau ketidakpatuhan terhadap arahan ini akan dikenakan tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan undang-undang yang terpakai,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here