Pegawai Khas kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad.

KUALA LUMPUR – Selepas mencatat kemenangan bergaya sebagai Timbalan Ketua Cabang Keadilan Hulu Selangor dengan mandat sebanyak 2,881 undi, Saifuddin Shafi Muhammad secara rasmi mahu bertanding jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada pemilihan Mei depan.

Menurutnya, kemenangan itu bukan sekadar kejayaan peribadi sebaliknya merupakan amanah besar daripada rakyat akar umbi yang menginginkan perubahan serta suara mereka terus dibawa ke peringkat nasional.

“Kemenangan ini adalah isyarat jelas rakyat mahukan pembaharuan, kepimpinan berprinsip dan keberanian untuk membawa perubahan sebenar.

Ia juga satu tanggungjawab yang tidak ringan namun saya melangkah dengan penuh keyakinan dan komitmen,” katanya hari ini.

Saifuddin yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor menyatakan keyakinan pengalamannya dalam pentadbiran kerajaan negeri dan struktur parti telah mematangkan pendekatannya untuk memahami keperluan rakyat serta struktur akar umbi.

“Pengalaman ini mengajar saya suara akar umbi perlu diraikan bukan hanya sewaktu pemilihan, tetapi dalam setiap perancangan dan keputusan strategik parti. Mereka adalah pemegang taruh sebenar dalam perjuangan ini,” katanya lagi.

Dengan semangat membawa nafas baharu ke dalam kepimpinan PKR, Saifuddin menyuarakan tekad untuk membina barisan MPP yang berani, jujur dan progresif yang mampu menginspirasikan anggota serta mengembalikan keyakinan rakyat kepada perjuangan parti.

“Saya percaya parti memerlukan suara-suara segar. Saya hadir bukan dengan janji kosong tetapi dengan komitmen penuh untuk membawa politik nilai yang matang, memperkasa suara anak muda dan golongan terpinggir serta memastikan dasar parti berpaksikan keadilan sosial.

“Politik bukan sekadar soal kedudukan tetapi perjuangan untuk membina harapan dan menyatukan rakyat menuju Malaysia yang lebih adil dan bermaruah.

“Saya bukan tokoh besar, bukan pemilik modal besar. Saya hanyalah anak tempatan yang percaya perubahan hanya berlaku apabila kita berani mendengar, berani bertindak dan bersedia memikul harapan rakyat,” ujarnya.

Dalam masa terdekat, beliau akan turun padang ke seluruh negara untuk mendengar sendiri pandangan anggota akar umbi, kerana baginya, setiap suara anggota adalah penting dalam menentukan masa depan parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast