KUALA LUMPUR – Pemergian Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi amat dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Allahyarham meninggalkan banyak jasa ketika memimpin negara.
Menurut Timbalan Presiden UMNO itu, beliau secara peribadi berdukacita dengan pemergian Tun Abdullah.
“Negara kita kehilangan seorang anak watan yang mempunyai semangat tinggi semasa beliau jadi pemimpin kita. Seluruh negara akan merasai kehilangan beliau.
“Walaupun di saat-saat akhir kehidupan Allahyarham Tun Abdullah tidak berapa sihat tetapi pemergiannya akan dirasai oleh rakyat atas jasa-jasa dan khidmat bakti Allahyarham kepada tanah air.
“Kita ucapkan banyak terima kasih dan berdoa bersama-sama agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beramal soleh juga. Insya-Allah,” katanya.
Mohamad ditemui di Institut Jantung Negara (IJN) selepas menziarahi jenazah Allahyarham Tun Abdullah.
Bekas Perdana Menteri itu dimasukkan ke IJN pada Ahad pada jam 1 pagi selepas mengalami masalah sesak nafas dan dirawat Unit Penjagaan Koronari (CCU).
Orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir kepada Tun Abdullah pada jam 11 pagi hingga jam 1 petang esok di Dewan Solat Pertama Masjid Negara.
Jenazah Tun Abdullah akan dikebumikan di Makam Pahlawan selepas solat Zohor. – MalaysiaGazette