Manivanan Gowin

KUALA LUMPUR –  Setiausaha Politik Pejabat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Manivanan Gowin tewas dalam pertandingan peringkat cabang di Jempol, Negeri Sembilan semalam. 

Dalam saingan empat penjuru yang menyaksikan pertarungan sengit peringkat akar umbi, calon wanita, Azizah Salim Shah berjaya meraih sokongan tertinggi dengan 450 undi mengatasi Manivanan yang memperoleh 248 undi.

Manakala dua lagi calon, Muhammad Asri Abdullah dan K Mariappan masing-masing mendapat 83 dan 52 undi daripada 836 kertas dikeluarkan dalam proses pengundian itu.

Azizah merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada semua yang telah mengundi dan membantunya sepanjang pertandingan peringkat cabang kali ini.

“Saya anggap ini sebagai kemenangan rakyat akar umbi. Mereka telah memilih jalan pembaharuan dan saya bersyukur diberi peluang untuk menerajui Cabang Jempol dengan semangat baharu. Ini bukan tentang saya tetapi tentang semua yang mahu melihat PKR kembali kuat di peringkat akar umbi.

“Saya tahu tugas ini bukan mudah tapi saya percaya, dengan semangat kerja berpasukan, kita boleh membina semula kepercayaan rakyat dan menjadikan cabang ini sebagai model bagi pentadbiran parti yang bersih, inklusif dan proaktif.

“Saya juga akan pastikan semua suara didengar, tanpa mengira siapa mereka sokong dalam pemilihan ini,” katanya hari ini.

Sementara itu, Manivanan yang pernah menjadi Ahli Parlimen Kapar menyatakan beliau menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan akan terus menyumbang kepada parti dalam kapasiti yang sesuai.

“Saya ke Jempol sebagai ahli biasa yang mahu menyumbang idea dan inisiatif baharu untuk memperkukuh Pakatan Harapan di Negeri Sembilan. Walaupun keputusan tidak berpihak kepada saya, saya tetap menghormati suara ahli,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here