Mujahid Yusof Rawa

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dikenang sebagai satu-satunya pemimpin negara berlatarbelakangkan pengajian Islam yang membawa pendekatan pentadbiran berteraskan nilai agama melalui gagasan Islam Hadhari.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, kejayaan Allahyarham menduduki jawatan tertinggi sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima seharusnya menjadi kebanggaan kepada setiap pelajar dan graduan bidang agama.

“Beliau yang mesra dengan panggilan Pak Lah bukan sahaja memiliki asas pendidikan agama Islam dari Universiti Malaya, malah beliau mendaki dunia politik secara berperingkat.

”Jadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Pelajaran, Menteri Pertahanan, Menteri Luar hingga ke jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Sejurus dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2004, Allahyarham memperkenalkan pendekatan Islam Hadhari, selaras dengan susur galur keluarganya yang berketurunan ulama terkenal, nendanya Tuan Guru Abdullah Fahim dan bapanya, Tuan Guru Ahmad Badawi aktif dalam pendidikan pondok.

“Melalui pendekatan Islam Hadhari, Pak Lah menzahirkan idea besar kepimpinan negara berlandaskan prinsip Siyasah Syar’iyah, iaitu falsafah pentadbiran Islam yang meletakkan kemakmuran negara dan keharmonian rakyat sebagai teras utama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, Islam Hadhari turut mengangkat syariah sebagai kayu ukur dalam menentukan kejayaan pembangunan dan kemajuan material.

Mengimbas kembali tempoh pentadbiran Allahyarham, Mujahid berkata sepanjang sepenggal lebih memimpin negara, kerajaan Barisan Nasional (BN) menikmati kestabilan politik, termasuk kejayaan merampas kembali banyak kerusi Parlimen yang dimenangi pembangkang dalam Pilihan Raya Umum 1999.

Namun ujarnya, kepimpinan Pak Lah turut diuji dengan konflik dalaman UMNO dan tekanan politik selepas BN kehilangan majoriti dua pertiga dalam PRU 2008, sehingga mendorong beliau melepaskan jawatan pada 2009 dan menyerahkannya kepada Datuk Seri Najib Razak.

“Beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas sebelum akhirnya bersara sepenuhnya daripada politik,” ujarnya.

Mujahid menyifatkan negara kehilangan seorang negarawan yang memperkenalkan pelan reformasi awal termasuk Pelan Integrasi Nasional (PIN) dan penekanan terhadap pembangunan modal insan yang terangkum dalam gagasan Islam Hadhari.

“Semoga Allahyarham dicucuri rahmat dan dikenang sebagai pemimpin berjiwa besar yang tenang, bersederhana dan sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here