KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di sini malam tadi.
Beliau mendoakan semoga roh allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman serta beramal soleh.
Hajiji mengenang kembali jasa allahyarham yang dikenali Pak Lah terutama dalam usaha memacu pembangunan di Sabah menerusi pelancaran Koridor Pembangunan Sabah (SDC) pada tahun 2008.
Untuk makluman, usaha itu salah satu daripada lima Koridor Ekonomi Malaysia yang diperkenalkan semasa pentadbiran Allahyarham.
“Antara objektif projek SDC adalah untuk menjadikan Sabah sebagai pintu masuk utama untuk perdagangan, pelaburan dan pelancongan mewujudkan peluang pekerjaan, menjadikan negeri ini lebih celik teknologi dan sebuah tempat tinggal yang selesa dan harmoni tanpa mengira bangsa dan agama.
“Projek ini telah memberi banyak manfaat kepada pembangunan negeri Sabah ini,” katanya dalam kenyataan.
Hajiji menyifatkan Pak Lah sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat, peramah dan disenangi ramai yang tidak mungkin ada pengganti selepas ini. – MalaysiaGazette