KUALA LUMPUR – Keputusan kes saman fitnah bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin terhadap Ustaz Abu Syafiq berhubung vaksin Covid-19, ditangguhkan oleh Mahkamah Tinggi di sini hingga Jumaat ini.
Keputusan tersebut sepatutnya diumumkan oleh Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan, hari ini.
Abu Syafiq atau nama sebenar Mohd Rasyiq Mohd Alwi disaman Khairy atas dakwaan memfitnahnya berhubung pandemik Covid-19 dan program vaksinasi kerajaan ketika beliau menteri Kabinet.

Peguam Abdul Rashid Ismail bagaimanapun memberitahu pihak media, prosiding ditangguhkan ekoran pemergian Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga bapa mentua Khairy.
Sehubungan itu, Abdul Rashid berkata, mahkamah membenarkan permohonan Khairy atau KJ untuk menangguhkan penyampaian keputusan hingga Jumaat ini.
Abdullah meninggal dunia pada usia 85 tahun pukul 7.10 malam di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, semalam.
Khairy memfailkan saman fitnah terhadap Mohd. Rasyiq pada 25 Januari 2022 dan mendakwa defendan memfitnahnya dengan membuat empat kenyataan, menyiarkan tiga video dan gambar di Instagram ‘Ustaz Abu Syafiq’ pada 20 Oktober 2024, 6 dan 10 Januari 2022.
Dakwanya, kenyataan fitnah dalam saman itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa dia telah diberi vaksin Covid-19 serta menerima dos ketiga serta memalsukan maklumat berkenaan status vaksinasi.
Dalam saman itu, Khairy menuntut RM2 juta iaitu RM200,000 bagi setiap lapan hantaran fitnah oleh pendakwah tersebut, selain tuntutan ganti rugi teruk dan teladan.
Dalam saman sama, Khairy pernah menyaman bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam atas dakwaan fitnah isu Covid-19 namun perkara itu telah selesai luar mahkamah selepas defendan memohon maaf berhubung kenyataannya. -MalaysiaGazette