KUALA LUMPUR – Bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat menzahirkan rasa sedih di atas pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi yang disifanya sebagai tokoh negara berhati mulia dan amat dihormati semua lapisan masyarakat.
“Saya merakamkan ucapan takziah yang tulus ikhlas kepada keluarga Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Kita benar-benar kehilangan seorang good man dalam kalangan pemimpin negara yang terdahulu,” katanya hari ini.
Menurut bekas Menteri itu, Tun Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah merupakan pemimpin yang sentiasa mendekati rakyat dengan kelembutan, sopan santun, dan kesederhanaan yang mencerminkan keperibadian beliau yang luhur.
“Beliau bukan sahaja dihormati kerana jawatan yang disandang, tetapi kerana akhlaknya yang tinggi, tutur katanya yang lembut, dan prinsipnya yang teguh dalam memelihara keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia.
“Pak Lah sentiasa menjadi jambatan yang menyatukan pelbagai latar belakang masyarakat,” katanya.
Menurut Tee Keat, walaupun era pentadbiran Tun Abdullah tidak panjang namun kesan dan nilai yang ditinggalkan amat besar dan berkekalan khususnya dalam soal ketelusan pentadbiran, pembangunan modal insan serta pendekatan Islam Hadhari yang inklusif dan progresif.
“Saya percaya rakyat Malaysia akan terus mengenang jasa dan keperibadian beliau yang bersih, berhemah dan penuh kasih sayang terhadap negara dan rakyatnya.
“Beliau adalah lambang pemimpin berjiwa besar yang tidak pernah menjadikan kuasa sebagai matlamat, tetapi sebagai amanah,” katanya. -MalaysiaGazette