Gambar hiasan

KUANTAN – Seorang kerani rugi lebih RM1 juta selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan saham secara dalam talian.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, mangsa  merupakan seorang wanita berusia 56 tahun sebelum itu terpengaruh dengan iklan pelaburan saham berkenaan di aplikasi Facebook pada 17 Disember 2024.

“Mangsa telah menekan pautan iklan dan menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada seorang individu yang mengarahkan dia memuat turun aplikasi dikenali sebagai Quantum.

“Mangsa kemudian dihubungi oleh nombor WhatsApp lain yang mendakwa sebagai khidmat pelanggan dan telah diarahkan membuat pindahan wang ke beberapa akaun bank bagi tujuan pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, Yahaya berkata, mangsa telah melakukan sebanyak 18 transaksi ke tujuh akaun bank berbeza yang melibatkan jumlah keseluruhan RM1,068,600.00 antara 12 Februari hingga 26 Mac 2025.

Beliau berkata, mangsa turut membuat pengeluaran wang simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan pinjaman bank selain mengeluarkan wang simpanan peribadi bagi tujuan itu.

“Mangsa hanya menerima pulangan sebanyak RM20,000 sebelum menyedari diri telah ditipu dan membuat laporan polis,” tambahnya.

Susulan itu, Yahaya menasihati orang orang ramai agar membuat semakan dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan atas talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan dan tidak mudah terpengaruh dengan Skim Pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan.

Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast