KUALA LUMPUR – Malaysia sedang menunggu kelulusan daripada kerajaan Myanmar untuk menghantar pegawai perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke hospital medan di kawasan yang terjejas akibat gempa bumi di negara tersebut.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan telah bersetuju menanggung perbelanjaan dan keperluan pergerakan pegawai perubatan yang terlibat.
“Kita sudah bersedia malah, kita beritahu bersedia hantar pada 16 April iaitu esok.
“Kita hanya menunggu pihak Myanmar memberikan lampu hijau (tentang) di mana hospital medan nak diwujudkan (di sana). Jadi, kita sudah bersedia kalau dia beri (lampu hijau) hari ini, esok kita hantar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 Kementerian Pertahanan di Kem Kementah, hari ini.
Kelmarin, Khaled berkata, seramai 35 pegawai perubatan ATM akan dihantar ke Myanmar dalam misi kemanusiaan selepas negara itu dilanda gempa bumi berukuran 7.9 skala Ritcher pada 28 Mac lalu.
Jelasnya, ia susulan persetujuan kerajaan membenarkan ATM menyediakan kemudahan hospital medan di Myanmar atas permohonan negara itu, baru-baru ini.-MalaysiaGazette