kenderaan kerajaan Malaysia CPI budaya politik imigresen sempadan rakyat rasuah
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) merakamkan ucapan takziah mendalam atas pemergian Perdana Menteri kelima yang disifatkan sebagai seorang negarawan ulung, tenang, sederhana dan berjiwa besar.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau lebih dikenali sebagai Pak Lah telah meletakkan asas penting dalam pembentukan masyarakat berteraskan integriti menerusi pelbagai inisiatif sepanjang pentadbirannya.

“Bagi kami di MCW, allahyarham bukan sekadar Perdana Menteri tetapi figura kebapaan yang mengutamakan penyelesaian isu-isu mendasar yang menyentuh akal, hati dan jiwa rakyat.

“Kuasa bukan matlamat beliau sebaliknya beliau fokus kepada dasar yang membawa kesejahteraan sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Jais, antara legasi penting yang ditinggalkan oleh allahyarham termasuk pelancaran Pelan Integriti Nasional (PIN) dan penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) pada tahun 2004 yang menjadi bukti kesungguhan beliau membina negara bebas rasuah dan beretika tinggi.

“Kesemua kepimpinan MCW berpeluang menyaksikan sendiri pembangunan PIN di bawah kepimpinan beliau yang berwawasan.

“Ia merupakan inisiatif penting yang wajar diperkukuhkan melalui strategi antirasuah hari ini seperti National Anti-Corruption Strategy (NACS),” katanya.

Tambah Jais, konsep Islam Hadhari diketengahkan allahyarham juga mencerminkan pendekatan pembangunan holistik seimbang antara kemajuan material dan nilai-nilai spiritual, keadilan, ilmu dan toleransi  selari dengan nilai-nilai dalam kerangka Malaysia MADANI yang diterapkan kerajaan hari ini.

Namun begitu, katanya, momentum digerakkan oleh allahyarham tidak diteruskan secara konsisten selepas beliau meninggalkan tampuk pemerintahan dan MCW percaya warisan beliau perlu dihidupkan semula demi masa depan negara yang lebih berintegriti.

“Pemergian beliau adalah kehilangan besar kepada negara. Malaysia telah kehilangan sebutir permata yang sukar dicari ganti.

“Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nya kita kembali, semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang orang beriman dan beramal soleh,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast