KUALA LUMPUR – Allahyarham Tun Abdullah Badawi atau Pak Lah merupakan pemimpin yang budiman, penyabar, tenang dan tidak suka bermusuh.
Malah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut menganggap Pak Lah pemimpin yang sentiasa merendah diri meskipun memgang jawatan tertinggi dalam pentadbiran negara.
“Allahyarham merupakan seorang Perdana Menteri yang setiap masa merendah diri, tahu matlamat dan tanggungjawabnya, sentiasa bersedia berkhidmat.
“(Allahyarham) sentiasa meletakkan kepentingan negara, rakyat dan parti berbanding diri,” katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 Kementerian Pertahanan di Kem Kementah hari ini.
Tidak hanya mengenali Pak Lah daripada sisi profesional sewaktu menyertai Kabinet di bawah pentadbirannya, Khaled berkata, allahyarham semasa hidup telah memberi sumbangan besar kepada negara dan rakyat dan ia tidak akan dilupakan.
Tambah beliau, sosok keperibadian Pak Lah yang mengutamakan negara terbukti apabila berani melepaskan jawatannya sebelum ini sebagai Perdana Menteri.
“Kita sedia maklum bukan mudah pemimpin yang memegang suatu jawatan yang tinggi melepaskannya pada masa yang sama tidak menganggu (pentadbiran). Begitulah (orangnya) allahyarham.
“Saya ingat jawatan pertama saya dilantik (menjadi) menteri olehnya iaitu Menteri Usahawan dan Pembangunan Koperasi. Beliau sentiasa memberi nasihat dan menyokong usaha yang saya lakukan terutama mengangkat agenda Bumiputera dan pendidikan anak bangsa,” katanya lagi.
Pak Lah, 85 menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 7.10 malam tadi.
Jenazahnya akan dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara hari ini mengikut Istiadat Pengebumian Negara.-MalaysiaGazette