KUALA LUMPUR – Tiga sumbangan besar Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi akan sentiasa dikenang dan dihargai oleh semua kakitangan kerajaan.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr Adnan Mat berkata, kakitangan kerajaan amat menghargai kenaikan gaji serta lanjutan umur persaraan wajid ketika Abdullah mentadbir negara.
Menurutnya, pada tahun 2007, Abdullah mengumumkan kenaikan gaji bagi lebih 1 juta penjawat awam sehingga 35 peratus, berkuat kuasa 1 Julai 2007.
Langkah itu menyaksikan kumpulan sokongan menikmati kenaikan tertinggi sebanyak 35 peratus manakala kumpulan tertinggi menerima kenaikan sebanyak 7.5 peratus.
Pada Mei 2008, Abdullah turut melanjutkan umur persaraan wajib penjawat awam daripada 56 kepada 58 tahun setelah mengambil kira jangka hayat rakyat Malaysia dan memastikan peluang pekerjaan bagi graduan baru tidak terjejas.
Selain itu, kerajaan pimpinan Abdullah memperkenalkan sistem kenaikan pangkat secara Khas untuk Penyandang (KUP) bagi memberi peluang kepada penjawat awam yang telah lama berkhidmat untuk menikmati kenaikan pangkat tanpa perlu menunggu kekosongan jawatan.
“CUEPACS mengenang Allahyarham Tun Abdullah sebagai seorang pemimpin berjiwa besar, penyabar, dan sentiasa mendengar keluh kesah penjawat awam.
“Sumbangan beliau telah membawa perubahan besar dalam meningkatkan kesejahteraan dan motivasi penjawat awam di seluruh negara.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya dalam kenyataan.
CUEPACS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Allahyarham atas jasa dan sumbanganyang amat besar kepada penjawat awam semasa memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Kelima.- MalaysiaGazette