KUANTAN – Perdana Menteri prihatin kepada waris Tanah Perkuburan Islam Bukit Ubi di sini yang dibelenggu isu bil air tertunggak sebanyak RM10,000.
Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil membantu dengan membiayai separuh daripada kos utiliti berkenaan.
Setiausaha politiknya, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, proses penyambungan bekalan air oleh Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) di tanah perkuburan itu juga telah dilaksanakan bagi menyelesaikan isu itu.
”Saya menerima maklumat mengenai isu bekalan air yang terputus sejak bulan Mac yang lalu di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ubi akibat tunggakan bil yang mencecah ribuan ringgit.
”Prihatin dengan perkara ini, saya tampil mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyumbangkan RM5,000 bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada pihak PAIP.
”Terima kasih kepada semua pihak yang cakna dan bersama-sama memastikan kemaslahatan masyarakat terus terpelihara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Difahamkan, tunggakan air tersebut sudah berlarutan sejak lebih lima tahun yang lalu tanpa sebarang penyelesaian tuntas.
Keadaan tersebut, katanya, sudah tentu memberi kesan kepada pengurusan dan kemudahan asas di kawasan perkuburan yang sering diziarahi oleh waris dan masyarakat.
Beliau berharap usaha kecil itu dapat memberi manfaat dan kemudahan kepada waris serta pihak pengurusan tanah perkuburan.
Pada Ahad lalu, MalaysiaGazette melaporkan PAIP membuat pemotongan bil air di kawasan itu susulan bil semasa mencecah RM10,000 selepas hantaran permohonan sumbangan waris tular di media sosial. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Bil tertunggak RM10,000, PAIP potong bekalan air Tanah Perkuburan Bukit Ubi