BUTTERWORTH – Proses pengambilan tanah sawah padi seluas 2.2 hektar bagi tujuan pembangunan Tanah Perkuburan Islam Berpusat Daerah Seberang Perai Utara (SPU) kini memasuki fasa pelaksanaan dan dijangka boleh digunakan mulai Oktober depan.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata, perbincangan dan kelulusan sejak tahun 2021 itu bermula dengan perbincangan antara Pegawai Tadbir Agama (PTA) Daerah SPU dengan Pejabat Tanah SPU sebelum diangkat ke peringkat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP).
Beliau berkata, kelulusan pengambilan diberikan oleh Jawatankuasa Tanah Negeri pada tahun 2022 dengan kos dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) sebanyak RM7.06 juta yang diperuntukkan dalam bajet tahun 2024.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) menganggarkan kos sebanyak RM2.2 juta diperlukan bagi kerja tambakan dan membina pagar wakaf di atas tanah berkenaan, namun fasa pertama projek melibatkan RM700,000 termasuk kos tambahan laluan masuk.

“Kita keluarkan RM200,000 bagi peruntukan pembangunan Islam pada hujung tahun lalu dan diangkat kertas kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang kerana anggaran fasa pertama ialah RM500,000. Tapi bila dibentangkan kepada saya pada bulan Mac lalu, kita ubah laluan masuk ke bahagian belakang, dan JKR beri anggaran tambahan RM200,000.
“Keseluruhan kos tambakan fasa pertama berjumlah RM700,000 telah diluluskan dalam Jawatankuasa Pembangunan Agama Islam dan perolehan kerja telah dikeluarkan oleh JKR untuk dilaksanakan segera dan InsyaAllah, Mei ini kerja-kerja tersebut akan mula dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pecah tanah kerja-kerja menambun tanah Perkuburan Islam Berpusat bagi daerah SPU di Sungai Dua di sini, hari ini.
Tambah beliau, sekiranya fasa pertama dan kedua mencukupi, baki 1.5 ekar daripada keseluruhan lima ekar tanah yang diambil boleh dimanfaatkan untuk tujuan lain, namun keputusan akan dibuat selepas melihat keperluan semasa.
Mengulas lanjut Mohamad berkata, tiada wujud sebarang isu kekurangan tanah perkuburan Islam di Pulau Pinang seperti yang didakwa sesetengah pihak.
“Tindakan pihak tertentu mengadakan perhimpunan membabitkan isu tanah kubur adalah tidak wajar kerana ia memberi gambaran seolah-olah wujud krisis tanah perkuburan di negeri ini, sedangkan tiada isu sebenarnya.
“Isu utama hanyalah berkenaan jarak contohnya, ada yang enggan membawa jenazah ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira enam hingga tujuh kilometer dari lokasi asal, walaupun masih dalam daerah yang sama,” katanya. – MalaysiaGazette