Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan Foto: FB Vivian Balakrishnan

KUALA LUMPUR – Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan melahirkan rasa dukacita atas pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi yang disifatkan sebagai seorang pemimpin unggul yang banyak menyumbang memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia, Singapura.

Balakrishnan berkata, Tun Abdullah merupakan seorang tokoh yang dihormati dan berpengalaman luas dalam kerajaan Malaysia serta memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan kedudukan ASEAN di rantau ini.

“Saya amat berdukacita atas pemergian Tun Abdullah Badawi yang telah meninggal dunia malam ini. Tun Abdullah adalah seorang pemimpin yang dihormati dan telah berkhidmat dalam Kabinet Malaysia selama bertahun-tahun,” tulisnya dalam Facebook beliau.

Menurut beliau, hubungan Malaysia Singapura berkembang secara positif semasa pentadbiran allahyarham termasuk melalui projek pembangunan utama seperti Iskandar Malaysia di Johor.

“Semasa beliau menjadi Perdana Menteri, kami berjaya mencapai kemajuan dalam pelbagai isu dua hala termasuk pembangunan Iskandar Malaysia di Johor.

“Perdana Menteri Singapura ketika itu, Lee Hsien Loong dan Tun Abdullah juga menganjurkan Singapore-Malaysia Leaders’ Retreat pertama di Langkawi pada tahun 2007 yang saya sendiri hadiri.

“Platform pertemuan itu kemudiannya menjadi acara tahunan penting yang membolehkan kedua-dua negara membincangkan isu-isu utama secara langsung dan mesra,” katanya.

Selain isu dua hala, Balakrishnan turut mengiktiraf peranan allahyarham dalam memperkukuh kerjasama serantau terutamanya dalam kerangka ASEAN.

“Tun Abdullah turut memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kedudukan ASEAN menjadikan beliau seorang pemimpin yang bukan sahaja dihormati di Malaysia malah di seluruh rantau,” tambahnya.

Menteri Luar Singapura itu turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham dan rakyat Malaysia atas kehilangan besar tersebut.

“Fikiran dan doa saya bersama keluarganya dan rakyat Malaysia dalam saat-saat kesedihan ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast