Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran dasar tarif tinggi yang dilaksanakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump boleh mencetuskan inflasi berpanjangan.

Pelaksanaan tarif tinggi itu juga  akan menyukarkan daya saing produk AS di pasaran global.

Dr Mahathir berkata, walaupun beliau bukan ahli ekonomi namun dia memahami cukai yang tinggi terhadap barangan import ke AS akan memberi kesan kepada pengguna dan pengimport negara itu.

“Siapa yang akan bayar? Bukan pengeksport. Pengimport dan pengguna Amerika akhirnya akan membayar.

“Mereka mungkin tidak mahu membeli atau membeli dalam jumlah yang lebih sedikit, dan ini akan merugikan pengeksport,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr Mahathir lagi, walaupun negara-negara lain tidak mengenakan tarif tinggi sesama mereka dan perdagangan boleh berkembang, namun secara keseluruhan, perdagangan dunia akan tetap berkurangan.

Dakwa beliau, harapan Trump untuk memaksa industri AS kembali ke tanah air sendiri sebagai sesuatu yang mengambil masa lama dan mahal.

“Bloomberg melaporkan, Apple perlukan lapan tahun untuk keluar dari China. Apple dipindahkan ke India, tapi Amerika masih perlu mengimport.

“Ini bukan apa yang Trump mahu. Beliau mahu semua industri berada di Amerika, itu pun perlukan lapan tahun lagi. Dia perlu ‘pause’ selama lapan tahun,” sindirnya.

Dr Mahathir turut mempersoalkan keputusan Trump untuk ‘pause’ import iPhone dari China, memandangkan hampir semua iPhone Amerika dihasilkan di sana.

“China mungkin kehilangan pasaran Amerika, tapi syarikat Amerika juga akan rugi, mungkin lebih lagi. Di Malaysia, kita masih akan bayar harga lama,” jelasnya.

Tambah beliau, untuk memindahkan operasi pembuatan ke AS bukan sahaja mengambil masa, malah akan menyebabkan harga produk meningkat, menjadikan ia tidak kompetitif di pasaran antarabangsa.

“Bukan hanya iPhone, banyak produk Amerika sebenarnya dibuat di China malah di Malaysia dan negara membangun lain juga.

“Jadi saya sendiri tertanya, berapa banyak kali Trump perlu ‘pause’?,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan agar Trump mempelajari pengalaman Malaysia dalam pengurusan tarif.

“Malaysia ada banyak pengalaman dengan tarif. Mungkin Trump patut belajar daripada Malaysia,” katanya. -MalaysiaGazette

Tarif import AS menyebabkan barangan Malaysia dijual harga tinggi – Tun M

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast