KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar melahirkan rasa terharu kerana menerima kunjungan hormat daripada pelbagai pihak semasa memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau berkata, lebih manis apabila ramai yang berkongsi memori indah sewaktu Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri sebelum ini.
“Ramai pengunjung terdiri daripada rakan-rakan seperjuangan, sahabat politik, sahabat handai, saudara-mara dan juga rakyat jelata ingin beri penghormatan terakhir kepada Pak Lah.
“Tidak lupa pada wakil pemimpin negara asing terutamanya pemimpin kanan Singapura, telah pun datang, tidak lupa seluruh perwakilan kedutaan asing yang hadir pada hari ini.
“Ramai yang memberi memori indah sewaktu Pak Lah menjadi Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai Istiadat Pengebumian Perdana Menteri kelima itu di Makam Pahlawan, Masjid Negara, di sini, hari ini.
Tun Abdullah menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, pada jam 7.10 malam semalam.
Perkara itu disahkan Khairy yang merupakan menantu Allahyarham dalam hantaran menerusi laman sosial.
Tun Abdullah merupakan Perdana Menteri kelima yang dilantik pada 31 Oktober 2003 selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatannya.
Allahyarham memimpin negara selama enam tahun sebelum beliau meletak jawatan dan digantikan timbalannya ketika itu, Datuk Seri Najib Razak pada 2 April 2009.
Turut hadir pada Istiadat Pengebumian Tun Abdullah ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Hadir sama, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Yang Dipertua Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam; Yang Dipertua Sabah, Tun Musa Aman; bekas-bekas Perdana Menteri termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad; Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Khairy juga bersyukur kerana segala urusan pengebumian Allahyarham Tun Abdullah berjalan dengan lancar dan tenang.
“Saya rasa istimewa sebab Pak Lah seorang pemimpin yang tidak sangat memberatkan protokol.
“Sebab itu kita membuat keputusan semua hadir pada waktu sama, sama ada mereka adalah orang kenamaan ataupun orang biasa untuk mengenang jasa Pak Lah dan memberi penghormatan terakhir,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana membantu melancarkan urusan pengebumian mentuanya itu.
“Saya rasa terima kasih tak terhingga kepada JPM, terutama bahagian istiadat PIPA dan penerangan, RTM, pihak media yang telah menguruskan dari A hingga Z.
“Tidak lupa kepada PDRM dan ATM, terutamanya menjadi pengusung jenazah dari dewan solat sehingga ke Makam Pahlawan, saya ucap terima kasih,” katanya. – MalaysiaGazette