KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai pemimpin yang berjiwa besar dan berprinsip apabila menyerahkan jawatan Perdana Menteri tanpa sebarang pertikaian selepas prestasi Barisan Nasional (BN) merosot dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).
Beliau yang hadir di Masjid Negara pagi tadi untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham berkata, walaupun pernah berbeza pendapat dengan penggantinya itu, beliau menghormati cara Abdullah mengendalikan proses peralihan kuasa yang mencerminkan kematangan politik Malaysia.
“Abdullah mengambil alih jawatan Perdana Menteri selepas saya meletakkan jawatan, dan dalam tempoh awal pentadbirannya, negara menyaksikan salah satu kemenangan paling besar dalam sejarah pilihan raya apabila BN memenangi hampir 90 peratus undi dalam PRU 2004.
“Kejayaan besar itu menunjukkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Abdullah ketika itu.
“Bagaimanapun, katanya, selepas itu Abdullah berdepan pelbagai cabaran yang akhirnya menyumbang kepada kemerosotan prestasi BN dalam PRU12,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah di Masjid Negara, di sini, hari ini.
Mahathir yang tiba di Masjid Negara kira-kira jam 11.15 pagi bersama anaknya, Datuk Seri Mukhriz disambut menantu Allahyarham, Khairy Jamaluddin.
Mengimbas kembali detik tersebut, Dr. Mahathir menyatakan apabila keputusan pilihan raya 2008 tidak memihak kepada kerajaan, Abdullah tidak teragak-agak untuk melepaskan jawatan dan menyerahkannya kepada timbalannya ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.
“Tindakan Abdullah yang melepaskan jawatan tanpa sebarang bantahan atau konflik adalah contoh kepada tradisi politik matang di Malaysia.
“Amalan ini wajar diteruskan oleh generasi kepimpinan akan datang demi kestabilan negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette