Gambar dirakam di Istana Alam Shah pada tahun 2003 semasa Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan DYMM Sultan Selangor.

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin menyifatkan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai seorang pemimpin yang amat mementingkan kesejahteraan rakyat.

Menerusi perkongsian di Facebook Selangor Royal Office, bekas Perdana Menteri itu turut disifatkan sebagai negarawan yang berdedikasi dan tenang.

“Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan menzahirkan rasa sedih dan dukacita di atas kembalinya ke Rahmatullah, Perdana Menteri Malaysia ke-5, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 14 April 2025 di usia 85 tahun.

“Duli-Duli Tuanku turut berkenan menzahirkan perutusan takziah kepada waris dan keluarga Allahyarham Tun Abdullah khususnya balu, YABhg. Tun Jeanne Abdullah,” katanya.


Gambar dirakam pada tahun 2001 ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ketika itu Pemangku Raja Selangor di Istana Mestika.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah. dan ditempatkan di kalangan para solihin.

Allahyarham Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah mengurniakan Allahyarham dengan Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada tahun 1992 dan Seri Paduka Mahkota Selangor pada tahun 2000 atas jasa dan bakti yang ditaburkan.

Turut dikongsi dalam hantaran di media sosial adalah dua keping foto Sultan Sharafuddin dan Abdullah.

Gambar pertama dirakam pada tahun 2001 ketika Abdullah  ketika itu Timbalan Perdana Menteri menghadap Sultan Sharafuddin yang ketika itu Pemangku Raja Selangor di Istana Mestika.

Gambar kedua dirakam di Istana Alam Shah pada tahun 2003 semasa Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan DYMM Sultan Selangor.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast