KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, diberitahu tiga pemimpin negara yang terdiri daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Tun Daim Zainuddin bertanyakan tentang kemajuan siasatan polis ke atas kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, dalam pertemuan pertemuan pada 2018, Dr. Mahathir tidak berpuas hati mengapa Datuk Seri Najib Razak belum didakwa meskipun siasatan telah dilakukan untuk tempoh tertentu.
Malah katanya, dalam pertemuan berasingan di Menara Ilham, di sini, dengan pasukan siasatan pada 2018, Daim turut bertanyakan perkara serupa.
Ujar beliau, dalam taklimat kepada Dr. Mahathir, Senior Asisten Komisioner (SAC) R. Rajagopal yang ketika itu pegawai penyiasat 1MDB memaklumkan siasatan belum selesai kerana polis memerlukan keterangan luar negara melalui proses bantuan guaman timbal balik.
Beliau yang merupakan saksi pembelaan ke-19 (DW19) berkata, beberapa bulan selepas itu, Dr. Mahathir menghubunginya secara terus untuk mengadakan pertemuan di kediaman beliau di The Mines, Seri Kembangan.
“Beliau tidak berpuas hati kerana tiada pertuduhan dikenakan terhadap suspek kes itu termasuk Datuk Seri Najib.
“Saya maklumkan kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan ia keputusan Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas untuk mengemukakan pendakwaan,” ujar Mohamad Fuzi dalam pernyataan saksinya.
Ujar bekas Ketua Polis Negara, taklimat turut diberikan kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mana persoalan yang dikemukakan menjurus kepada pengarah dan pengurusan tertinggi 1MDB.
Menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Mohamad Fuzi berkata, Rajagopal turut mencadangkan ahli Lembaga Pengarah 1MDB dan pengurusannya didakwa di mahkamah.
Menurut beliau, Tommy kemudian mengarahkan polis memfailkan pertuduhan terhadap beberapa individu yang telah melarikan diri dari negara ini serta mendapatkan waran tangkap terhadap mereka.
“Rajagopal turut memaklumkan kepada saya bahawa tiada arahan pertuduhan terhadap anggota pengurusan 1MDB yang berada dalam negara kerana mereka akan dijadikan saksi dalam kes Datuk Seri Najib,” ujar beliau.
Mahkamah sedang mendengar perbicaraan kes pembelaan Najib, 71, yang menghadapi empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – MalaysiaGazette