Enam lelaki didakwa atas pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Enam lelaki termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pemandu lori  menggunakan parang dan topi keledar pada 6 April lalu.

Tertuduh, S. Vimalraj, 29; M. Rubenesan, 26; P. Kesvaraj, 25; N. Yogeswaran, 26; dan dua beradik S. Ranjeev Ram, 26; Sree Ram, 25 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama oleh jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.

Mengikut pertuduhan kesemua mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang lelaki berusia 26 tahun menggunakan parang dan topi keledar yang mungkin boleh mengakibatkan kematian.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Bestari, Nibong Tebal dalam daerah Seberang Perai Selatan, jam 3.30 pagi pada 6 April lalu.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Masing-masing tertuduh dibenarkan ikat jamin RM8,000.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin tidak menawarkan sebarang jaminan atas faktor kesalahan itu tidak boleh diikat jamin dan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah menawarkan jaminan RM10,000 serta syarat tambahan ketat sekiranya membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin.

Bagaimanapun, peguam, S.Yuvaarshana yang mewakili kesemua tertuduh merayu jaminan minimum atas alasan kesemua anak guamnya berpendapatan kurang RM2,000 dan perlu menyara keluarga masing-masing.

“Anak guam saya, Vimalraj merupakan pemandu lori dengan pendapatan bulanan RM1,200, Rubenesan bekerja sebagai penyelaras gudang dengan gaji RM1,800 manakala Kesvaraj perlu menyara tiga anak serta isteri dengan pendapatan RM1,700.

“Manakala Ranjeev Ram dan Sree Ram, masing-masing sudah berkahwin mempunyai tanggung anak serta isteri dan terakhir Yogeswaran merupakan pemandu lori dengan pendapatan RM1,500 perlu menjaga adiknya yang berstatus OKU,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan masing-masing tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan syarat tambahan mereka tidak dibenarkan mengganggu mangsa, saksi pendakwaan serta lapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 16 Mei depan.

ARTIKEL BERKAITAN

Enam lelaki direman serang pemandu lori dengan parang, topi keledar

MalaysiaGazette pada 7 April lalu melaporkan seorang pemandu lori cedera parah di bahu, tapak tangan dan belakang badan akibat diserang enam lelaki menggunakan parang serta topi keledar.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun dikatakan sedang tidur di ruang tamu kediamannya sebelum didatangi enam suspek tersebut.

Susulan itu, ahli keluarga mangsa membuat laporan sebelum pihak polis memberkas kesemua suspek di enam lokasi berasingan sekitar Nibong Tebal.

Difahamkan, berlaku perselisihan faham antara mangsa dengan suspek menjadi punca dia diserang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast